Back

KEPULANGAN JEMAAH TABLIGH RAKYAT MALAYSIA DARI INDIA

KEPULANGAN JEMAAH TABLIGH RAKYAT MALAYSIA DARI INDIA

Kementerian Luar Negeri ingin memaklumkan bahawa seramai 16 ahli Jemaah Tabligh (JT) rakyat Malaysia di India telah selamat tiba di tanah air pada 14 Oktober 2020.

Enam JT daripada kumpulan ini menaiki penerbangan Air India Express (IX1922) dari Hyderabad, India dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 3.22 petang, manakala 10 JT yang lain menaiki penerbangan Air India Express (IX1622) dari Chennai dan selamat tiba di KLIA pada jam 4.52 petang.

Terdahulu, seorang JT di New Delhi selamat pulang ke Malaysia pada 9 Oktober menerusi penerbangan Air India Express (IX1122).

Dengan kepulangan 17 JT ini, Kementerian Luar Negeri telah berjaya membawa pulang seramai 161 daripada 189 orang ahli JT yang berada di India. Sebelum ini, seramai 144 ahli JT rakyat Malaysia telah dibawa pulang menerusi beberapa siri Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR), iaitu pada 18, 22, 29 Julai, 26 Ogos dan 18 September. Semua JT yang pulang diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari di Stesyen Kuarantin (QS) sejajar dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia.

Sehingga hari ini, masih terdapat seramai 28 JT rakyat Malaysia di India. Kebanyakan daripada mereka telah selesai menjalani proses perundangan dan dibebaskan daripada pertuduhan mahkamah,manakala beberapa orang lagi masih menjalani prosedur perundangan di Bihar, India. Penyelarasan usaha membawa mereka pulang sedang dilakukan oleh Perwakilan-Perwakilan Malaysia di India.

Kementerian Luar Negeri ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua agensi Kerajaan yang terlibat, terutamanya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di atas kerjasama dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan misi membawa pulang JT rakyat Malaysia di India. Kerajaan Malaysia turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan India dalam membantu urusan kepulangan mereka.

Kementerian Luar Negeri, menerusi Perwakilan-Perwakilan Malaysia di India, akan terus memantau isu ini secara rapat dan memberikan bantuan konsular yang sewajarnya bagi memastikan hak dan kebajikan mereka terpelihara.
Kementerian Luar Negeri juga akan meneruskan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di India dalam usaha memudahcara urusan pulang 28 ahli JT rakyat Malaysia yang masih berada di negara itu.


DATO’ KAMARUDIN JAFFAR

TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI

PENGERUSI PASUKAN PETUGAS COVID-19 KEMENTERIAN LUAR NEGERI

14 OKTOBER 2020