Back

KEPULANGAN KUMPULAN KEDUA JEMAAH TABLIGH RAKYAT MALAYSIA DARI INDIA

 

KEPULANGAN KUMPULAN KEDUA JEMAAH TABLIGH

RAKYAT MALAYSIA DARI INDIA

 

Kementerian Luar Negeri dengan sukacitanya ingin memaklumkan bahawa seramai 40 Jemaah Tabligh rakyat Malaysia telah selamat tiba di tanah air pada 22 Julai 2020 jam 2.45 petang menerusi pesawat Air India Express. Kepulangan ini merupakan kepulangan kumpulan kedua Jemaah Tabligh selepas 62 Jemaah Tabligh dari India selamat tiba ke tanahair, pada 18 Julai 2020 yang lalu. Kepulangan kumpulan ini juga melibatkan dua orang Jemaah Tabligh yang telah selesai kes perbicaraan di Saharanpur, Uttar Pradesh.

 

Sebagaimana misi-misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) yang telah dilaksanakan sebelum ini, semua rakyat Malaysia yang berkenaan diwajibkan menjalani ujian saringan COVID-19 setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan perlu menjalani proses kuarantin selama 14 hari di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP), Bangi, untuk pemantauan lanjut.

 

Sehingga hari ini, masih terdapat seramai 87 Jemaah Tabligh rakyat Malaysia yang berada di India. Daripada jumlah ini, seramai 25 Jemaah Tabligh di New Delhi dijangka dapat pulang ke tanahair pada 29 Julai 2020, manakala seramai 52 Jemaah Tabligh berada di beberapa wilayah di India (Bihar, Jharkand, Telangana, Tamil Nadu, Maharashtra) dan sedang menjalani proses perundangan. Seramai sembilan Jemaah Tabligh lagi masih berada di Kolkata, West Bengal dan sedang menanti prosedur perundangan seterusnya, manakala seorang Jemaah Tabligh di Amravati, Maharashtra tidak dikenakan apa-apa pertuduhan

 

Dalam hal ini, Kementerian Luar Negeri menerusi Perwakilan-Perwakilan Malaysia di India akan terus memantau secara berterusan perkembangan situasi ini dan memberikan bantuan konsular yang sewajarnya untuk memastikan kebajikan mereka terpelihara. Kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di India juga akan dipergiatkan lagi dalam usaha untuk memudahcara kepulangan mereka ke tanah air.

 

Kementerian Luar Negeri juga ingin merakamkan penghargaan di atas kerjasama pelbagai Kementerian dan Agensi yang terlibat terutamanya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam meneraju misi HADR kali ini.

 

 

DATO’ KAMARUDIN JAFFAR

TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI

PENGERUSI PASUKAN PETUGAS COVID-19

KEMENTERIAN LUAR NEGERI

23 JULAI 2020