EN MS
MFA Directory English Bahasa Melayu
KEPULANGAN KUMPULAN KEEMPAT
JEMAAH TABLIGH RAKYAT MALAYSIA DARI INDIA
Kementerian Luar Negeri ingin memaklumkan bahawa kumpulan keempat Jemaah Tabligh
(JT) rakyat Malaysia seramai 9 orang yang terkandas di Kolkata, India telah selamat tiba di
tanah air menerusi pesawat Air India Express pada jam 3:11 petang, 26 Ogos 2020. Mereka
tidak dikenakan sebarang pertuduhan dan telah ditempatkan di bawah pengawasan pihak
berkuasa tempatan India di Haj House, Kolkata sejak 1 April 2020 bagi menjalani kuarantin
yang ditetapkan oleh pihak Kerajaan negara itu.
Dengan kepulangan 9 orang JT tersebut, Kementerian Luar Negeri telah berjaya membawa
pulang seramai 124 daripada 189 orang JT yang terkandas di India. Seramai 115 orang JT
rakyat Malaysia sebelum ini telah dibawa pulang menerusi tiga Misi Bantuan Kemanusiaan
dan Bencana (HADR) masing-masing pada 17, 22 dan 29 Julai 2020. Sebagaimana tiga
kumpulan JT rakyat Malaysia yang pulang sebelum ini, mereka akan menjalani kuarantin
wajib 14 hari di Stesen Kuarantin (QS) ditetapkan oleh Kerajaan.
Sehingga hari ini, masih terdapat seramai 65 orang JT rakyat Malaysia yang masih berada
di India. Daripada jumlah tersebut, seramai 13 orang berada di New Delhi bagi menunggu
pelepasan dan kebenaran pulang daripada Kerajaan India. Baki 52 orang lagi sedang
menjalani proses perundangan di beberapa wilayah di India di Bihar, Jharkand, Telangana,
Tamil Nadu dan Maharashtra.
Kejayaan misi ini tidak akan dapat dicapai tanpa kerjasama erat yang diberikan oleh semua
Agensi Kerajaan yang terlibat, terutamanya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)
dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kerajaan Malaysia turut merakamkan ucapan
terima kasih dan penghargaan kepada Kerajaan India, termasuk pihak berkuasa tempatan
negara itu yang membolehkan kepulangan mereka.
Selaras dengan komitmen Kerajaan Malaysia dalam membantu JT rakyat Malaysia
terkandas negara itu, Kementerian Luar Negeri menerusi Perwakilan-Perwakilan Malaysia
di India akan terus memantau isu ini secara rapat dan memberikan bantuan konsular yang
sewajarnya bagi memastikan hak dan kebajikan mereka terpelihara. Kementerian juga akan
terus meningkatkan usaha serta jalinan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di India
dalam usaha memudahcara kepulangan 65 orang JT rakyat Malaysia yang masih berada di
negara itu segera dengan selamat.
DATO’ KAMARUDIN JAFFAR
TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI
PENGERUSI PASUKAN PETUGAS COVID-19
KEMENTERIAN LUAR NEGERI
26 Ogos 2020