Back

KEPULANGAN KUMPULAN KELIMA JEMAAH TABLIGH RAKYAT MALAYSIA DARI INDIA

KEPULANGAN KUMPULAN KELIMA

JEMAAH TABLIGH RAKYAT MALAYSIA DARI INDIA

 

 

Kementerian Luar Negeri ingin memaklumkan bahawa seramai 20 ahli Jemaah Tabligh (JT) rakyat Malaysia di New Delhi dan Mumbai, India telah selamat tiba di tanah air menerusi pesawat Air India Express (IX1122) pada jam 3.40 petang, 18 September 2020. Ini merupakan kumpulan kelima ahli JT rakyat Malaysia yang berjaya dibawa pulang.

 

Dengan kepulangan 20 ahli JT tersebut, Kementerian Luar Negeri telah berjaya membawa pulang seramai 144 daripada 189 orang ahli JT yang berada di India. Sebelum ini, seramai 124 ahli JT rakyat Malaysia telah dibawa pulang menerusi empat Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) masing-masing pada 18, 22, 29 Julai dan 26 Ogos 2020. Semua ahli JT yang pulang diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari di Stesyen Kuarantin (QS) sejajar dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia.

 

Sehingga hari ini, masih terdapat seramai 45 ahli JT rakyat Malaysia yang berada di India.Mereka sedang menjalani proses perundangan di beberapa wilayah di India iaitu New Delhi,Bihar, Telangana dan Tamil Nadu.

 

Kementerian Luar Negeri ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua agensi Kerajaan yang terlibat, terutamanya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di atas kerjasama dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan misi ini. Kerajaan Malaysia turut mengucapkan terima kasih

kepada Kerajaan India dalam membantu urusan kepulangan mereka.

 

Kementerian Luar Negeri memantau rapat perkembangan ahli JT rakyat Malaysia di India dan berterusan memberikan bantuan konsular yang sewajarnya bagi memastikan hak dan kebajikan mereka terpelihara. Kementerian Luar Negeri juga akan meneruskan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di India dalam usaha memudahcara urusan pulang baki 45

ahli JT rakyat Malaysia yang masih berada di negara itu.

 

 

DATO’ KAMARUDIN JAFFAR

TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI

PENGERUSI PASUKAN PETUGAS COVID-19

KEMENTERIAN LUAR NEGERI

 

19 September 2020