Back

KEPULANGAN KUMPULAN KETIGA JEMAAH TABLIGH RAKYAT MALAYSIA DARI INDIA

KEPULANGAN KUMPULAN KETIGAJEMAAH TABLIGH RAKYAT MALAYSIA DARI INDIA

 

Kementerian Luar Negeri dengan sukacitanya ingin memaklumkan bahawa seramai 13 Jemaah Tabligh rakyat Malaysia telah selamat tiba di tanah air menerusi pesawat Air India Express pada jam 3.02 petang, 29 Julai 2020. Kepulangan kumpulan ketiga ini melibatkan seramai 12 Jemaah Tabligh di New Delhi yang telah menjalani proses perundangan; serta seorang Jemaah Tabligh di Amravati, Maharashtra yang bebas daripada sebarang pertuduhan.

 

Kumpulan pertama seramai 62 Jemaah Tabligh dari India sebelum ini telah selamat tiba ke tanah air, pada 18 Julai 2020 manakala kumpulan kedua seramai 40 Jemaah Tabligh pula tiba pada 22 Julai 2020.

 

Lanjutan pengumuman YB Menteri Kanan Keselamatan pada 21 Julai 2020 mengenai prosedur kuarantin wajib selama 14 hari, semua 13 Jemaah Tabligh yang berkenaan telah menjalani ujian saringan COVID-19 setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan seterusnya dibawa menjalani proses kuarantin di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP), Bangi, untuk pemantauan lanjut.

 

Sehingga hari ini, masih terdapat seramai 74 Jemaah Tabligh rakyat Malaysia yang berada di India. Daripada jumlah ini, seramai 13 orang berada di New Delhi dan masih menunggu pelepasan dan kebenaran pulang daripada Kerajaan India; 52 orang berada di beberapa wilayah di India (Bihar, Jharkand, Telangana, Tamil Nadu, Maharashtra) dan sedang menjalani proses perundangan; dan seramai sembilan yang lain masih berada di Kolkata, West Bengal dan menanti prosedur perundangan seterusnya.

 

Dalam hal ini, Kementerian Luar Negeri menerusi Perwakilan-Perwakilan Malaysia di India akan terus memantau secara berterusan perkembangan situasi ini dan memberikan bantuan konsular yang sewajarnya untuk memastikan kebajikan mereka terpelihara. Kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di India juga akan dipergiatkan lagi dalam usaha untuk memudahcara kepulangan mereka ke tanah air.

 

Kementerian Luar Negeri juga ingin merakamkan penghargaan di atas kerjasama pelbagai Kementerian dan Agensi yang terlibat terutamanya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam meneraju misi HADR kali ketiga ini.

 

DATO’ KAMARUDIN JAFFAR
TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI
PENGERUSI PASUKAN PETUGAS COVID-19
KEMENTERIAN LUAR NEGERI

30 JULAI 2020