Back

KEPULANGAN RAKYAT MALAYSIA DARI NIGERIA DAN SUDAN

KEPULANGAN RAKYAT MALAYSIA DARI NIGERIA DAN SUDAN

 

NIGERIA

 

Kementerian Luar Negeri ingin memaklumkan bahawa seramai 25 rakyat Malaysia di Lagos, Nigeria, telah selamat tiba di tanah air pada 11 Julai 2020, jam 9:15 pagi melalui penerbangan repatriasi yang diatur oleh Kerajaan Nigeria melalui pesawat Air Peace. Turut menaiki penerbangan repatriasi tersebut adalah 67 penumpang pelbagai negara yang turut terkandas di Nigeria sejak penularan COVID-19. Penumpang-penumpang yang terdiri dari warganegara Australia (9 orang), Brunei (3 orang), China (1 orang), Filipina (3 orang), Indonesia (1 orang), Kanada (1 orang), Nigeria (6 orang), Pakistan (1 orang), Singapura (1 orang), Taiwan (9 orang) dan Thailand (32 orang) akan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum meneruskan perjalanan pulang ke tanah air masing-masing dengan penerbangan komersial yang telah dijadualkan.

 

Kepulangan kumpulan kedua rakyat Malaysia ini telah dimudahcara oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Abuja, Nigeria dengan kos pembiayaan ditanggung secara persendirian oleh para penumpang. Sebelum ini, seramai 27 rakyat Malaysia di Nigeria telah berjaya pulang ke tanah air pada 24 Jun 2020 menerusi penerbangan repatriasi anjuran Kerajaan Emiriah Arab Bersatu.

 

Pada kesempatan ini, saya bagi pihak Kerajaan Malaysia ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Nigeria yang telah membantu menjayakan kepulangan kumpulan rakyat Malaysia berkenaan.

 

 

SUDAN

 

Seramai 11 pelajar Malaysia dari Khartoum, Sudan juga telah berangkat pulang ke tanah air melalui penerbangan repatriasi Emirates Airlines pada 10 Julai jam 2:35 petang waktu Khartoum dan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa, KLIA pada hari ini, jam 3:44 petang.

 

Kepulangan kumpulan rakyat Malaysia ini juga telah dimudahcara oleh Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum, Sudan dengan kos pembiayaan ditanggung secara persendirian oleh para penumpang.

 

Kementerian Luar Negeri melalui Perwakilan-Perwakilan Diplomatik Malaysia di luar negara akan meneruskan pemantauan situasi semasa serta bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam usaha memberi bantuan sewajarnya kepada rakyat Malaysia yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

 

 

DATO’ KAMARUDIN JAFFAR

TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI

PENGERUSI PASUKAN PETUGAS COVID-19

KEMENTERIAN LUAR NEGERI

 

11 Julai 2020