Back

KEPULANGAN RAKYAT MALAYSIA DARI SELATAN FILIPINA MENAIKI PESAWAT TENTERA UDARA DIRAJA MALAYSIA (TUDM)

KEPULANGAN RAKYAT MALAYSIA DARI SELATAN FILIPINA MENAIKI
PESAWAT TENTERA UDARA DIRAJA MALAYSIA (TUDM)

 

Saya ingin memaklumkan, seramai 81 orang rakyat Malaysia yang terkandas di Selatan Filipina telah selamat dibawa pulang dan telah tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada semalam, 11 Jun 2020 (Khamis). Kesemua mereka telah dibawa pulang dengan menaiki sebuah pesawat Charlie C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Labuan. Penerbangan ini turut disertai 2 orang pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan 3 orang pegawai perubatan TUDM.

 

Mereka kini dikuarantin di pusat kuarantin yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah selama 14 hari. Untuk makluman, kumpulan rakyat Malaysia ini telah berdaftar dengan Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Davao City sejak Mac 2020. Mereka telah diberikan bantuan konsular serta perhatian sewajarnya oleh Pejabat Konsulat Jeneral serta Kedutaan Besar Malaysia di Manila.

 

Bagi pihak Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra), saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya TUDM yang telah membantu memudahkan urusan kepulangan rakyat Malaysia dari Filipina ini. Sesungguhnya usaha ini amat besar nilai dan maknanya kepada negara dan sekaligus membuktikan anggota ATM dan rakyat berpisah tiada.

 

Selain itu, saya turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Republik Filipina serta semua pihak yang bekerjasama dalam menjayakan misi ini. Pihak-pihak ini termasuklah Kedutaan Besar Malaysia di Manila, Konsulat Jeneral Malaysia di Davao City, Pejabat Kementerian Luar Negeri Wilayah Sabah, ATM, Polis Diraja Malaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), KKM dan MKN Sabah serta agensi-agensi lain yang berkaitan.

 

YB DATO’ SERI HISHAMMUDDIN HUSSEIN
MENTERI LUAR NEGERI
12 Jun 2020 (Jumaat)