Back

KEPULANGAN RAKYAT MALAYSIA DARI UGANDA

KEPULANGAN RAKYAT MALAYSIA DARI UGANDA

 

Kementerian Luar Negeri ingin memaklumkan bahawa seramai lapan (8) orang rakyat Malaysia yang dilaporkan terkandas di Uganda akibat penutupan sempadan negara berkenaan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 telah tiba di tanah air pada 13 Julai 2020, jam 8:25 pagi.
 

Kesemua warganegara Malaysia tersebut berlepas ke Malaysia menggunakan penerbangan sewaan khas dari Uganda ke Tanzania dan seterusnya penerbangan komersial Qatar Airways dari Tanzania ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Repatriasi ini dibiayai secara bersama oleh kerajaan Malaysia dengan rakyat Malaysia berkenaan.

 

Setibanya di KLIA, semua warganegara Malaysia tersebut akan menjalani proses saringan kesihatan serta perlu menjalani proses kuarantin 14 hari di kediaman masing-masing selaras dengan Standard Operating Procedure (SOP) yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia.

 

Kerajaan Malaysia ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi, Kenya dan Encik Habib Kagimu, Konsul Kehormat Malaysia di Uganda yang telah membantu kumpulan rakyat Malaysia tersebut selama mereka terkandas dan memudahcara kepulangan mereka ke tanah air.

 

Kementerian Luar Negeri melalui Perwakilan-perwakilan Malaysia di luar negara akan sentiasa memantau situasi terkini keadaan rakyat Malaysia di seberang laut bagi memastikan kebajikan mereka terpelihara.


 

DATO’ KAMARUDIN JAFFAR
TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI

PENGERUSI PASUKAN PETUGAS COVID-19
KEMENTERIAN LUAR NEGERI

13 Julai 2020