Back

KEPULANGAN RAKYAT MALAYSIA YANG TERKANDAS DI LUAR NEGARA

KEPULANGAN RAKYAT MALAYSIA YANG TERKANDAS DI LUAR NEGARA

Kementerian Luar Negeri ingin memaklumkan pada 24 April 2020, sebilangan besar rakyat Malaysia telah selamat pulang ke tanah air melalui proses repatriasi yang dikendalikan oleh Kementerian ini. Kesemua mereka merupakan rakyat Malaysia yang terjejas disebabkan ketiadaan penerbangan akibat penularan pandemik Covid-19.

 

ALGERIA, TUNISIA DAN MAGHRIBI

Seramai 312 orang rakyat Malaysia yang terkandas di Algeria, Tunisia dan Maghribi telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada hari ini, jam 1:40 tengahari menaiki pesawat sewaan khas Air Asia X. Rakyat Malaysia dari Maghribi yang mengikuti penerbangan pulang ini telah diterbangkan khas dari Maghribi ke Algeria untuk turut serta dalam misi repatriasi tersebut.

Mengambilkira semangat ASEAN solidarity, Kerajaan Malaysia turut membantu memudahcara kepulangan warganegara-warganegara asing yang turut terkesan akibat pandemik ini dengan memberikan kebenaran menaiki pesawat tersebut. Mereka terdiri daripada warganegara Indonesia (17 orang), Singapura (6 orang), Jepun (9 orang) dan Korea (2 orang) di mana kesemua mereka dijadualkan menaiki penerbangan susulan untuk pulang ke negara masing-masing setibanya di Malaysia.

Kerajaan Malaysia ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Algeria, Tunisia dan Maghribi atas bantuan yang dihulurkan bagi memastikan misi ini berjaya dilaksanakan. Ucapan terima kasih juga saya tujukan kepada semua penjawat awam yang telah bekerja keras membantu kepulangan rakyat Malaysia ini terutamanya mereka di Kedutaan Besar Malaysia di Algiers, Kedutaan Besar Malaysia di Rabat dan juga Konsul Kehormat Malaysia di Tunisia.

 

ARAB SAUDI

Seramai 91 orang rakyat Malaysia yang terkandas di Riyadh, Arab Saudi telah selamat tiba di KLIA pada hari ini, jam 1:05 tengahari dengan menaiki pesawat Malindo Air. Kumpulan rakyat Malaysia tersebut sebelum itu telah menaiki pesawat bantuan kemanusiaan Saudia Airlines yang dihantar oleh Kerajaan Singapura bagi membawa pulang warganya dari Arab Saudi. Kejayaan membawa pulang kumpulan rakyat Malaysia tersebut melambangkan kerjasama erat di antara Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Singapura.

Saya, bagi pihak Kerajaan Malaysia merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Singapura yang telah bermurah hati membantu membawa pulang rakyat Malaysia yang terjejas akibat penggantungan operasi penerbangan. Inisiatif Kerajaan Singapura ini merupakan usaha berterusan dalam mengukuhkan hubungan baik dua-hala yang telah terjalin sekian lama di antara kedua-dua negara.

Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah akan meneruskan pemantauan situasi semasa serta bekerjasama dengan pihak berkuasa Arab Saudi dalam usahanya membawa pulang rakyat Malaysia selanjutnya ke tanah air. Oleh itu, rakyat Malaysia yang masih berada di Arab Saudi adalah diminta untuk terus bertenang dan mematuhi peraturan-peraturan semasa yang dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa tempatan.

 

MESIR

Kementerian turut mengambil maklum kepulangan seramai 371 warga Malaysia dari Mesir yang telah tiba pada hari ini jam 5:25 pagi. Mereka pulang atas pembiayaan sendiri dengan menaiki pesawat kelolaan Zara Zakiah Sdn Bhd.

Khabar gembira pada hari pertama bulan Ramadhan di hari Jumaat yang penuh barakah ini merupakan satu lagi kejayaan Kerajaan Malaysia dalam membawa pulang rakyat Malaysia yang terkesan di luar negara akibat pandemik ini. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadhan Al-Kareem kepada seluruh umat Islam di negara ini, tidak kira di mana anda berada.

 

DATO’ KAMARUDIN JAFFAR
TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI
PENGERUSI PASUKAN PETUGAS COVID-19 KEMENTERIAN LUAR NEGERI

PUTRAJAYA
24 April 2020