Back

LAPORAN MEDIA BERHUBUNG 10,000 RAKYAT MALAYSIA MENJADI PENDATANG ASING TANPA IZIN (PATI) DI THAILAND

LAPORAN MEDIA BERHUBUNG 10,000 RAKYAT MALAYSIA MENJADI PENDATANG ASING TANPA IZIN (PATI) DI THAILAND

 

Kementerian Luar Negeri melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla sedang meneliti laporan media tempatan yang mendakwa seramai 10,000 rakyat Malaysia menjadi pendatang asing tanpa izin (PATI) di Thailand. Laporan tersebut turut mendakwa bahawa perkara ini berlaku apabila warganegara Malaysia yang masuk ke Thailand menggunakan Pas Sempadan Malaysia - Thailand tidak dapat pulang semula ke tanah air kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada bulan Mac 2020 dan penutupan sempadan antarabangsa Malaysia akibat penularan pandemik COVID-19.

Berdasarkan penelitian awal, dakwaan sehingga 10,000 orang rakyat Malaysia masih berada secara di Thailand secara tidak sah atau lebih masa adalah tidak berasas dan Kementerian ini yakin bahawa jumlah tersebut adalah jauh lebih kecil.

Sejak PKP dilaksanakan, Kementerian dan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla telah menghulurkan bantuan kepada lebih 2,439 orang warganegara Malaysia yang berhasrat untuk pulang ke tanah air. Berdasarkan rekod Konsulat Jeneral, sehingga kini, hanya terdapat 72 orang warganegara Malaysia yang berdaftar dengan pihak Konsulat Jeneral dan memegang Pas Sempadan. Bilangan ini adalah sebahagian daripada 444 orang warganegara Malaysia yang telah mendaftarkan diri dengan pihak Konsulat Jeneral.

Walaubagaimanapun, Kementerian memperakui terdapat kesulitan-kesulitan yang dihadapi rakyat Malaysia akibat penutupan sempadan sejak Mac 2020 dan Kerajaan Thailand pada bulan Februari 2021 telah mengumumkan supaya semua warganegara asing yang memegang visa pelancong/jangka pendek untuk meninggalkan negara tersebut atau akan dikenakan penalti sekiranya mereka gagal berbuat demikian. Lanjutan daripada itu, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, Thailand telah membantu dari segi pembaharuan Paspot Malaysia Antarabangsa (PMA) bagi warganegara Malaysia yang berhasrat untuk memohon pelanjutan tempoh visa di Thailand, manakala Sijil Perakuan Cemas telah dikeluarkan kepada pemegang Pas Sempadan yang telah luput bagi membolehkan mereka kembali ke Malaysia.

Kementerian Luar Negeri melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla amat prihatin dan sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan konsular kepada warganegara Malaysia yang terkesan akibat penutupan sempadan Malaysia – Thailand.

Kementerian Luar Negeri ingin menasihatkan warganegara Malaysia di Thailand yang terkesan akibat penutupan sempadan kedua-dua negara dan memegang dokumen perjalanan yang telah luput untuk hadir ke Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla bermula 8 April 2022 bagi membolehkan pihak Konsulat Jeneral menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya.

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai perkara ini boleh dikemukakan secara terus kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla melalui:

 

Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, Thailand

No. 4 Sukhum Road

Muang District

Songkhla, Thailand 90000

Tel: (6674) 311 062 / 316 274

E-mel: mwsongkhla@kln.gov.my

 

 

PUTRAJAYA

9 April 2022