LAWATAN KERJA PARLIAMENTARY VICE-MINISTER FOR FOREIGN AFFAIRS JEPUN KE MALAYSIA 22 – 23 SEPTEMBER 2024
LAWATAN KERJA
PARLIAMENTARY VICE-MINISTER FOR FOREIGN AFFAIRS JEPUN KE MALAYSIA
22 – 23 SEPTEMBER 2024
Tuan Yang Terutama Masahiro Komura, Parliamentary Vice-Minister for Foreign Affairs Jepun telah mengadakan lawatan kerja ke Malaysia pada 22 hingga 23 September 2024 dalam rangka lawatan beliau ke Asia Tenggara. Ini merupakan lawatan pertama TYT Komura ke Malaysia sejak lantikan beliau pada September 2023.
TYT Komura telah mengadakan mesyuarat dua hala serta menghadiri jamuan makan tengah hari yang dihoskan oleh YB Datuk Mohamad Alamin, Timbalan Menteri Luar Negeri pada 23 September 2024. Kedua-dua pihak menggariskan komitmen bersama untuk terus mengukuhkan Perkongsian Strategik Komprehensif antara Malaysia dan Jepun.
Kedua-kedua pihak turut membincangkan peningkatan kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, serta memperkukuh kerjasama sedia ada dalam bidang pertahanan, pelancongan, pendidikan tinggi dan tenaga hijau. Mereka juga bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa, termasuk Hubungan Dialog ASEAN-Jepun dan peperangan di Gaza.
Semasa di Malaysia, TYT Komura telah melawat kampus Universiti Tsukuba cawangan Malaysia, yang dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pengajian Tinggi pada 2 September 2024. Bagi pendaftaran pertama, seramai 13 orang pelajar telah memohon untuk melanjutkan pelajaran mereka dalam Program Sarjana Muda Sastera dan Sains di bawah Pusat Pengajian Sains dan Reka Bentuk Transdisiplin.
Sehingga tahun 2023, sebanyak 2,810 projek oleh syarikat Jepun telah dilaksanakan di Malaysia, dengan nilai pelaburan berjumlah RM102.11 bilion (USD29.67 bilion), menyediakan 344,120 peluang pekerjaan.
PUTRAJAYA
23 September 2024



