Back

LAWATAN KERJA RASMI YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB PERDANA MENTERI MALAYSIA KE JEPUN 23 – 28 MEI 2022

 

LAWATAN KERJA RASMI YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB

PERDANA MENTERI MALAYSIA KE JEPUN

23 – 28 MEI 2022

 

YAB Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia akan mengadakan Lawatan Kerja Rasmi ke Jepun dari 23 hingga 28 Mei 2022. YAB Perdana Menteri akan diiringi oleh YB Dato’ Sri Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri; YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri; YB Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Sumber Manusia; YB Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim, Menteri Wilayah Persekutuan; YB Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu, Menteri Belia dan Sukan; YB Dato’ Sri (Dr.) Richard Riot Anak Jaem, Utusan Khas Perdana Menteri ke Asia Timur; YB Dato’ Sri Abdul Rahman Haji Mohamad, Timbalan Menteri I, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

 

YAB Perdana Menteri dijadual bertemu dengan rakan sejawat beliau, Tuan Yang Terutama Fumio Kishida. Ini merupakan pertemuan bersemuka pertama antara kedua-dua pemimpin sejak menyandang jawatan pada tahun 2021. Pertemuan ini akan memberi peluang kepada kedua-dua pihak membincangkan inisiatif dalam memperkukuh hubungan antara Malaysia-Jepun yang telah lama terjalin serta kerjasama dalam pelbagai bidang. Antara perkara-perkara utama yang akan dibincangkan termasuk memperingati Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur (DPT), pengukuhan hubungan antara rakyat, dan kerjasama pasca COVID-19. Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai kepentingan ketenteraman antarabangsa dan kestabilan serantau.

 

Malaysia dan Jepun akan memuktamadkan Memorandum Kerjasama dalam tiga bidang melibatkan industri pesawat, pekerja mahir serta belia dan sukan. YAB Perdana Menteri dijadualkan akan bertemu dengan wakil-wakil komuniti perniagaan di Tokyo. Selain itu, beliau juga akan turut meraikan Sambutan Hari Raya Keluarga Malaysia bersama diaspora rakyat Malaysia di Jepun.

 

YAB Perdana Menteri juga akan menghadiri Persidangan Antarabangsa ke-27 mengenai Masa Depan Asia di atas jemputan daripada Nikkei Inc. Persidangan ini merupakan perhimpunan tahunan pemimpin-pemimpin politik, ekonomi dan industri dari rantau Asia Pasifik. YAB Perdana Menteri akan menyampaikan ucaptama dengan tema "Redefining Asia’s role in a divided world". Penyertaan YAB Perdana Menteri di Persidangan Nikkei ke-27 ini akan menjadi platfom untuk Malaysia berkongsi idea serta melibatkan diri dalam pelbagai inisiatif yang bertujuan mengembangkan kerjasama ekonomi yang lebih erat antara negara di rantau ini.

 

Lawatan ini mencerminkan kepentingan hubungan dua hala Malaysia – Jepun, selaras dengan sambutan memperingati ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik dan ke-40 Dasar Pandang ke Timur (DPT) yang disambut pada tahun ini. Pada tahun 2021, Jepun merupakan rakan dagang ke-4 terbesar Malaysia dengan jumlah dagangan bernilai RM149 bilion (USD36 bilion). Sehingga 2021, Jepun adalah pelabur asing ke-3 terbesar di Malaysia dalam sektor pembuatan bagi projek-projek yang dilaksanakan berjumlah RM90.9 bilion (USD27.6 bilion).

 

PUTRAJAYA

23 Mei 2022