Back

LAWATAN KERJA TYT DR VIVIAN BALAKRISHNAN, MENTERI LUAR NEGERI REPUBLIK SINGAPURA KE MALAYSIA 23 – 24 MAC 2021

 

 

LAWATAN KERJA TYT DR VIVIAN BALAKRISHNAN,

MENTERI LUAR NEGERI REPUBLIK SINGAPURA KE MALAYSIA

23 – 24 MAC 2021

 

 

Menteri Luar Negeri, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, akan menerima rakan sejawatnya, Menteri Luar Negeri Singapura, TYT Dr Vivian Balakrishnan, sempena lawatan kerja dua hari ke Malaysia dari 23 hingga 24 Mac 2021.

 

Lawatan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuhkan hubungan erat antara Malaysia dan Singapura, di mana Dato’ Seri Hishammuddin dan Dr Balakrishnan akan berbincang dan bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu yang melibatkan kepentingan bersama dalam konteks kerjasama dua hala serta isu-isu serantau dan antarabangsa. Kedua-dua Menteri Luar Negeri akan turut meneroka jalinan kerjasama pasca COVID-19, termasuk pensijilan vaksinasi timbal balas, yang akan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua buah negara.

 

Semasa lawatan tersebut, Dr Balakrishnan juga dijadualkan mengadakan kunjungan hormat dengan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin, dan pertemuan dengan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, YB Dato’ Seri Mohamed Azmin bin Ali, Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi YB Tuan Khairy Jamaluddin bin Abu Bakar.

 

Lawatan ini akan dikendalikan dengan mematuhi langkah-langkah pencegahan dan kesihatan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta berlandaskan kepada tatacara-tatacara Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). 

 

 

 

PUTRAJAYA

22 MAC 2021