Back

LAWATAN KERJA YB DATO’ KAMARUDIN JAFFAR TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI KE REPUBLIK UZBEKISTAN DAN REPUBLIK KAZAKHSTAN DARI 19 HINGGA 25 MEI 2022

 

LAWATAN KERJA YB DATO’ KAMARUDIN JAFFAR TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI

KE REPUBLIK UZBEKISTAN DAN REPUBLIK KAZAKHSTAN DARI 19 HINGGA 25 MEI 2022

 

YB Dato' Kamarudin Jaffar, Timbalan Menteri Luar Negeri akan mengadakan lawatan kerja ke Republik Uzbekistan dari 19 hingga 21 Mei 2022 dan Republik Kazakhstan dari 22 hingga 25 Mei 2022. YB Dato’ Kamarudin Jaffar akan diiringi oleh pegawai-pegawai Kementerian Luar Negeri.

Tahun 2022 merupakan Ulang Tahun ke-30 penubuhan hubungan diplomatik Malaysia dengan kedua-dua negara Asia Tengah.

Semasa di Uzbekistan, Dato' Kamarudin dijadual akan membuat Kunjungan hormat ke atas Timbalan Menteri Perdagangan Luar dan Pelaburan, Pemangku Menteri Luar Negeri serta Speaker Dewan Rakyat Uzbekistan. Manakala di Kazakhstan, beliau akan bertemu dengan rakan sejawat dan mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri (Menteri Perdagangan dan Integrasi) serta Pengerusi Jawatankuasa Hal-Ehwal Antarabangsa dan Pertahanan.

Lawatan ini akan memberi tumpuan untuk memperkukuh lagi kerjasama sedia ada yang memberi manfaat kepada Malaysia dan kedua-dua negara tersebut serta meneroka kerjasama strategik baharu dalam sektor perdagangan dan pelaburan, pendidikan, kebudayaan, pelancongan, bantuan kerjasama teknikal dan kerjasama kesihatan. Lawatan ini juga akan memberi peluang kepada Malaysia untuk bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2021, Kazakhstan merupakan rakan dagang terbesar Malaysia di Asia Tengah dengan jumlah perdagangan berjumlah RM359.79 juta. Manakala Uzbekistan pula merupakan rakan dagang kedua terbesar dengan jumlah RM187.82 juta.

 

 

PUTRAJAYA

18 Mei 2022