LAWATAN KERJA YB DATO’ SERI UTAMA HAJI MOHAMAD BIN HAJI HASAN, MENTERI LUAR NEGERI, KE BRUSSELS, BELGIUM 1 – 3 FEBRUARI 2024
LAWATAN KERJA YB DATO’ SERI UTAMA HAJI MOHAMAD BIN HAJI HASAN,
MENTERI LUAR NEGERI, KE BRUSSELS, BELGIUM
1 – 3 FEBRUARI 2024
YB Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri, akan mengadakan lawatan kerja ke Brussels, Belgium, dari 1 hingga 3 Februari 2024. Semasa di Brussels, YB Menteri Luar Negeri akan menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN-Kesatuan Eropah (AEMM) ke-24 serta Forum Menteri Indo-Pasifik Kesatuan Eropah (EU IPMF) ke-3.
Semasa AEMM ke-24, Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN dan EU dijangka akan membincangkan tindakan susulan kepada keputusan-keputusan yang dicapai semasa Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Kesatuan Eropah (EU) pada 2022 bagi meraikan ulang tahun ke-45 Hubungan Dialog ASEAN-EU. YB Menteri Luar Negeri akan mencadangkan beberapa bidang kerjasama bagi mengukuhkan lagi kerjasama antara ASEAN dan EU. YB Menteri Luar Negeri juga dijangka akan membangkitkan isu-isu berhubung perkembangan di Timur Tengah.
EU IPMF ke-3, yang dihoskan oleh Belgium, bertujuan untuk mengukuhkan lagi kerjasama antara EU dan negara-negara di rantau Indo-Pasifik. YB Menteri Luar Negeri akan mengambil bahagian dalam sesi Perbincangan Meja Bulat mengenai “The Green Transition: Partnering for a Sustainable Future”, di mana beliau akan mengetengahkan, antara lain, amalan kelestarian dan kemampanan Malaysia yang selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga.
YB Menteri Luar Negeri turut dijadualkan untuk mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa rakan sejawat dari EU dan bertemu dengan diaspora Malaysia di Brussels.
PUTRAJAYA
1 Februari 2024



