Back

LAWATAN KERJA YB DATO’ SRI SAIFUDDIN ABDULLAH KE KIGALI, REPUBLIK RWANDA BAGI MENGHADIRI MESYUARAT KETUA-KETUA KERAJAAN KOMANWEL (CHOGM) KE-26 21-25 JUN 2022

 

LAWATAN KERJA YB DATO’ SRI SAIFUDDIN ABDULLAH KE KIGALI,

REPUBLIK RWANDA BAGI MENGHADIRI MESYUARAT KETUA-KETUA

KERAJAAN KOMANWEL (CHOGM) KE-26

21-25 JUN 2022

 

YB Dato’ Sri Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) Ke-26 yang akan diadakan di Kigali, Republik Rwanda dari 21 sehingga 25 Jun 2022.

Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel biasanya diadakan setiap dua (2) tahun sekali. Mesyuarat CHOGM Ke-26, yang sepatutnya diadakan pada 26-27 Jun 2020, telah ditunda sebanyak dua (2) kali akibat penularan wabak COVID-19.

Tema untuk Mesyuarat CHOGM tahun ini adalah ‘Delivering A Common Future: Connecting, Innovating, Transforming’. Tema ini relevan dengan keadaan semasa di mana komuniti global sedang berhadapan dengan kesan pandemik COVID-19 yang telah mengakibatkan jurang perbezaan yang ketara dari segi pengagihan kekayaan, akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti dan pembangunan sosio ekonomi. Ketua-ketua Kerajaan Komanwel akan berbincang dan bertukar-tukar pendapat mengenai cabaran semasa yang akan menjejaskan keluarga Komanwel ke arah mencapai pembangunan mampan dan inklusif.

Ketua-ketua Kerajaan juga akan membincangkan perkembangan politik dan ekonomi semasa serta isu-isu berkaitan urus tadbir kerajaan dan kedaulatan undang-undang; pembangunan mampan; pemulihan pasca COVID-19; belia; dan, teknologi dan inovasi. Satu Kenyataan CHOGM 2022 serta tiga (3) dokumen hasil – Deklarasi Kigali mengenai Reformasi Penjagaan dan Perlindungan Kanak-kanak; Commonwealth Living Lands Charter: A Commonwealth Call to Action on Living Lands (CALL); dan, Deklarasi Pembandaran Lestari dijangka akan diperakui oleh Ketua-ketua Kerajaan pada penghujung sidang Kemuncak tersebut.

YB Dato’ Sri Saifuddin Abdullah turut dijangka mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya di sela-sela CHOGM Ke-26 bagi membincangkan isu-isu kepentingan bersama. Beliau juga akan berjumpa dengan Keluarga Malaysia yang menetap di Rwanda.

 

PUTRAJAYA

21 JUN 2022