Back

LAWATAN KHAS KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM KE MALAYSIA 28 NOVEMBER 2022

 

LAWATAN KHAS KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA

SERI BAGINDA SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN

NEGARA BRUNEI DARUSSALAM KE MALAYSIA

28 NOVEMBER 2022

 

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia akan menerima keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Putrajaya pada 28 November 2022 dalam satu Lawatan Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah ke Malaysia.

Ini merupakan pertemuan julung kali antara YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada 24 November 2022. Lawatan terakhir Paduka Seri Baginda ke Kuala Lumpur adalah pada 4 hingga 6 Mac 2019 lalu untuk menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan ke-22 antara Malaysia dan Negara Brunei Darussalam.

Malaysia dan Negara Brunei Darussalam mempunyai hubungan istimewa yang telah lama terjalin melalui persamaan warisan, budaya dan hubungan sesama insan. Bertitik tolak daripada hubungan istimewa ini, kedua-dua pemimpin akan mengambil peluang semasa lawatan tersebut untuk menilai kemajuan kerjasama sedia ada di samping meneroka potensi-potensi baru bagi meningkatkan hubungan dan kerjasama yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua buah negara.

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan turut meraikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen serta rombongan dalam satu Majlis Santapan Tengahari.

Pada tahun 2021, Negara Brunei Darussalam merupakan rakan dagangan ke-30 terbesar Malaysia dan ke-6 terbesar dalam ASEAN dengan jumlah perdagangan berjumlah RM 8.03 bilion (USD1.94 bilion).

 

PUTRAJAYA

28 November 2022