Back

LAWATAN KHAS OLEH KDYMM SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG AL-SULTAN ABDULLAH RI’AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN HAJI AHMAD SHAH AL-MUSTA’IN BILLAH

LAWATAN KHAS OLEH KDYMM SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG AL-SULTAN ABDULLAH RI’AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN HAJI AHMAD SHAH AL-MUSTA’IN BILLAH DAN KDYMM SERI PADUKA BAGINDA RAJA PERMAISURI AGONG TUNKU HAJAH AZIZAH AMINAH MAIMUNAH ISKANDARIAH BINTI ALMARHUM AL-MUTAWAKKIL ALALLAH SULTAN ISKANDAR AL-HAJ KE UNITED KINGDOM BERMULA 17 HINGGA 27 SEPTEMBER 2021

 

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berkenan mengadakan Lawatan Khas ke United Kingdom bermula 17 hingga 27 September 2021.

Seri Paduka Baginda berdua telah berkenan untuk mengadakan lawatan ke Battersea Power Station, sebuah projek ikonik Malaysia di London, yang merupakan usaha sama antara Sime Darby Property, SP Setia Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Seri Paduka Baginda berdua juga telah berkenan untuk melawat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London pada 24 September 2021 bagi sesi pertemuan dengan rakyat Malaysia di United Kingdom yang terdiri dari golongan usahawan, ahli akademik, pelajar serta ketua komuniti.

Pada 25 September 2021, Seri Paduka Baginda berdua dijadualkan berangkat melawat Tun Abdul Razak Research Centre (TARRC), sebuah syarikat milik penuh Lembaga Getah Malaysia dan salah sebuah institusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) getah terkemuka dunia.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga berkenan menerima kunjungan Sir General Nicholas Carter, Ketua Staf Pertahanan United Kingdom, yang akan menyentuh hubungan kerjasama pertahanan Malaysia dan United Kingdom.

Pada keseluruhannya, Lawatan Khas ini melambangkan kepentingan hubungan erat di antara Malaysia dan United Kingdom dimanifestasikan di peringkat pemerintahan tertinggi negara. Selain itu, lawatan ini turut menzahirkan keprihatinan Seri Paduka Baginda berdua terhadap kesejahteraan rakyat Malaysia serta prestasi pelaburan dan kepentingan Negara di United Kingdom agar sentiasa berada dalam keadaan yang baik terutamanya semasa pandemik yang mencabar ini.

 

 

PUTRAJAYA

17 September 2021