Back

LAWATAN KHAS OLEH KDYMM SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG AL-SULTAN ABDULLAH RI’AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN HAJI AHMAD SHAH AL-MUSTA’IN BILLAH KE UNITED KINGDOM (UK) DARI 9 HINGGA 16 DISEMBER 2019

LAWATAN KHAS OLEH

KDYMM SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG

AL-SULTAN ABDULLAH RI’AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN HAJI AHMAD SHAH AL-MUSTA’IN BILLAH

KE UNITED KINGDOM (UK)

DARI 9 HINGGA 16 DISEMBER 2019

 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda (KDYMM SPB) Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj akan mengadakan Lawatan Khas ke United Kingdom bermula 9 hingga 16 Disember 2019. KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku Berdua telah berkenan untuk berangkat ke Majlis Santapan Tengahari yang akan dihoskan oleh DYMM Ratu Elizabeth II di Istana Buckingham pada 12 Disember 2019.

 

KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong juga telah berkenan untuk mengadakan pertemuan bersama komuniti rakyat Malaysia di London dalam Majlis Santapan Malam pada 10 Disember 2019. KDYMM SPB Tuanku Berdua juga dijangka melawat Muzium dan Perpustakaan British pada 11 Disember 2019 termasuklah pertemuan dengan Most Reverend and Right Honourable Justin Welby, Lord Archbishop of Canterbury untuk bertukar-tukar pandangan mengenai kesejahteraan bersama di dalam masyarakat pelbagai bangsa dan agama di kedua-dua buah negara. Pada 13 Disember 2019, KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong diberi penghormatan dan akan menerima tabik hormat semasa perbarisan bersempena dengan Istiadat Pentauliahan Diraja KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah di Akademi Tentera Diraja Sandhurst. Yang di-Pertuan Agong juga dahulunya pernah menimba ilmu ketenteraan di Akademi Tentera Diraja Sandhurst pada tahun 1978 hingga 1979.

 

Lawatan Khas ke United Kingdom ini adalah merupakan yang keempat selepas lawatan khas ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Jepun pada bulan Jun, Julai dan Oktober lalu.  Lawatan Khas KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong ini juga melambangkan kepentingan untuk memelihara hubungan dua hala sedia ada di antara Malaysia dan United Kingdom, terutamanya menguatkan jalinan di antara Keluarga Kerabat Diraja kedua-dua negara.

 

 

PUTRAJAYA

9 Disember 2019