Back

LAWATAN PELAPOR KHAS BERKAITAN SITUASI HAK ASASI MANUSIA DI MYANMAR KE MALAYSIA, 17 – 23 JUN 2022

 

LAWATAN PELAPOR KHAS BERKAITAN SITUASI HAK ASASI MANUSIA DI

MYANMAR KE MALAYSIA, 17 – 23 JUN 2022

 

Encik Thomas Andrews, Pelapor Khas mengenai situasi hak asasi manusia di Myanmar, telah mengadakan lawatan ke Malaysia dari 17 hingga 23 Jun 2022. Malaysia merupakan negara pertama di rantau Asia Tenggara yang menerima lawatan Pelapor Khas tersebut.

Lawatan ini mencerminkan komitmen Malaysia dalam mencari penyelesaian yang aman dan berkekalan kepada situasi di Myanmar termasuk krisis di Rakhine yang telah membawa kepada masalah pelarian terbesar di rantau ini sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Situasi di Myanmar juga adalah penting dalam menjamin keselamatan dan kestabilan ASEAN.

Semasa di Malaysia, Pelapor Khas telah mengadakan kunjungan hormat ke atas YB Dato’ Sri Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri dan bertemu pegawai-pegawai Kementerian Luar Negeri. Pelapor Khas juga mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Hal Ehwal Antarabangsa dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Wanita, Hal Ehwal Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial; Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM); dan masyarakat sivil.

Pelapor Khas juga telah mengadakan perbincangan meja bulat yang dianjurkan oleh Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) bertajuk "Hak Asasi Manusia di Myanmar: Perspektif dan Realiti" dan berucap di Perbincangan Meja Bulat Peringkat Tinggi bertajuk “Pendidikan Pelarian: Menggerakkan Agenda Ke Hadapan" sempena Hari Pelarian Sedunia, anjuran All-Party Parliamentary Group Malaysia (APPGM), Kementerian Luar Negeri dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA).

Lawatan ke Malaysia bertujuan untuk memahami dengan lebih mendalam perspektif dan pendekatan Malaysia dan ASEAN mengenai situasi di Myanmar. Melalui lawatan ini, Pelapor Khas telah mengiktiraf peranan utama yang dimainkan oleh ASEAN, dan memuji kepimpinan yang ditunjukkan oleh YB Menteri Luar Negeri dan Malaysia dalam usaha ini.

Pelapor Khas akan membentangkan satu laporan lisan mengenai lawatannya ke Malaysia di Sesi ke-50 Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva pada 29 Jun 2022. Pelapor Khas mengenai situasi hak asasi manusia di Myanmar yang dilantik oleh Majlis Hak Asasi Manusia adalah berkhidmat atas kapasiti peribadi.

 

PUTRAJAYA

23 JUN 2022