Back

LAWATAN RASMI MENTERI LUAR NEGERI ARAB SAUDI KE MALAYSIA 7 HINGGA 8 JUN 2022

 

LAWATAN RASMI MENTERI LUAR NEGERI ARAB SAUDI KE MALAYSIA 7 HINGGA 8 JUN 2022

 

YB Dato’ Sri Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri akan menerima lawatan sulung rasmi YM Putera Faisal bin Farhan, Menteri Luar Negeri Arab Saudi dari 7 hingga 8 Jun 2022.

Semasa lawatan, YM Putera Faisal akan mengadakan kunjungan menghadap KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah.

YM Putera Faisal juga dijadualkan untuk mengadakan kunjungan hormat ke atas YAB Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri.

YB Dato’ Sri Saifuddin dan YM Putera Faisal akan mengadakan mesyuarat dua hala bagi merangka hala tuju bagi hubungan Malaysia-Arab Saudi yang sudah sedia kukuh. Kedua-dua Menteri Luar Negeri akan turut bertukar-tukar pandangan berkenaan isu serantau dan antarabangsa berkepentingan kepada kedua-dua negara.

YM Putera Faisal juga dijadualkan untuk mengadakan pertemuan secara berasingan bersama YB Dato' Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Kanan Pertahanan dan YB Dato' Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Malaysia dan Arab Saudi telah lama menjadi rakan kongsi. Kerjasama antara kedua-dua negara terus berkembang dalam pelbagai bidang, termasuk dalam tindak balas COVID-19 dan pemulihan pasca pandemik.

Arab Saudi merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia dan sumber import terbesar dalam kalangan negara Asia Barat. Jumlah dagangan Malaysia-Arab Saudi pada 2021 bernilai RM17.56 bilion (USD4.23 bilion).

 

PUTRAJAYA

7 Jun 2022