Back

LAWATAN RASMI MENTERI LUAR NEGERI REPUBLIK ARAB MESIR KE MALAYSIA, 14-16 MAC 2022

 

LAWATAN RASMI MENTERI LUAR NEGERI REPUBLIK ARAB MESIR KE MALAYSIA, 14-16 MAC 2022

 

Yang Berhormat Dato’ Sri Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri akan menerima lawatan Tuan Yang Terutama Sameh Hassan Shoukry, Menteri Luar Negeri Mesir pada 14-16 Mac 2022. Ini merupakan lawatan kali pertama TYT Sameh Shoukry ke Malaysia.

 

Semasa lawatan tersebut, Yang Amat Berhormat Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia dijadualkan menerima kunjungan hormat oleh TYT Sameh Shoukry pada 14 Mac 2022. TYT Sameh Shoukry akan menyampaikan jemputan daripada TYT Abdel Fattah Al Sisi, Presiden Republik Arab Mesir untuk YAB Perdana Menteri menghadiri Persidangan ke-27 Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (COP27 - UNFCCC) yang akan diadakan di Sharm El Sheikh pada November 2022.

 

YB Dato’ Sri Saifuddin dan TYT Sameh Shoukry akan mengadakan mesyuarat dua hala yang bertujuan mempertingkatkan lagi hubungan dan kerjasama dalam pelbagai bidang antara Malaysia dan Mesir. Kedua-dua Menteri Luar juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama. 

 

TYT Sameh Shoukry juga dijadual mengadakan pertemuan bersama YB Dato' Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato' Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dan YB Dato' Sri Tuan Man Tuan Ibrahim, Menteri Alam Sekitar dan Air. Lawatan TYT Sameh Shoukry ini akan meneruskan momentum pengukuhan hubungan dua hala teguh yang sedia terjalin, serta mencerminkan keazaman kedua-dua negara untuk meningkatkan lagi kerjasama ke tahap yang lebih tinggi. Lawatan ini juga akan memberi peluang kepada beliau untuk berkongsi visi dan objektif Mesir sebagai Presiden COP27.

 

Mesir merupakan rakan dagang terbesar Malaysia di Afrika utara. Pada tahun 2021, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Mesir bernilai RM3.8 bilion (USD904.1 juta), iaitu peningkatan ketara sebanyak 84.5 peratus, berbanding nilai yang direkodkan pada tahun 2020.

 

Lawatan ini akan dilaksanakan dengan pematuhan penuh Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Malaysia.

 

PUTRAJAYA

14 Mac 2022