LAWATAN RASMI MENTERI LUAR NEGERI THAILAND KE MALAYSIA 5-6 OGOS 2024
LAWATAN RASMI MENTERI LUAR NEGERI THAILAND KE MALAYSIA
5-6 OGOS 2024
Tuan Yang Terutama Maris Sangiampongsa, Menteri Luar Negeri Thailand akan mengadakan Lawatan Rasmi ke Malaysia pada 5 dan 6 Ogos 2024. Lawatan ini merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia setelah memegang jawatan Menteri Luar Negeri Thailand pada 1 Mei 2024.
Semasa lawatan ini, TYT Maris Sangiampongsa akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan YB Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri. Kedua-dua Menteri Luar juga akan mempengerusikan secara bersama Mesyuarat Ke-15 Suruhanjaya Bersama Bagi Kerjasama Dua Hala dan Mesyuarat Ke-6 Strategi Pembangunan Bersama bagi Kawasan Sempadan di antara Malaysia dan Thailand. Kedua-dua Menteri Luar dijangka akan membincangkan kemajuan kerjasama dua hala termasuk dalam bidang politik dan keselamatan, ekonomi, pelancongan, sosial dan kebudayaan, serta kesalinghubungan di kawasan sempadan kedua-dua negara. Kedua-dua pihak juga dijangka membincangkan isu-isu dua hala dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
TYT Maris Sangiampongsa juga dijadualkan untuk mengadakan kunjungan hormat ke atas YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri pada 6 Ogos 2024.
Lawatan ini mencerminkan hubungan dua hala yang erat antara Malaysia dan Thailand selaku jiran rapat dan rakan penting dalam ASEAN. Lawatan ini juga akan menambahkan peluang kepada kedua-dua negara untuk memperkukuhkan lagi kerjasama dan jalinan persahabatan antara Kerajaan dan rakyat kedua-dua negara.
Pada tahun 2023, Thailand merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia di peringkat global dan rakan dagang kedua terbesar di kalangan negara ASEAN, dengan jumlah perdagangan bernilai RM24.83 bilion (USD113.16 bilion).
PUTRAJAYA
4 Ogos 2024