Back

LAWATAN RASMI PRESIDEN REPUBLIK KOSOVO KE MALAYSIA 1 - 4 MEI 2025

LAWATAN RASMI PRESIDEN REPUBLIK KOSOVO KE MALAYSIA

1 - 4 MEI 2025

 

PYT Dr. Vjosa Osmani Sadriu, Presiden Republik Kosovo akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dari 1 hingga 4 Mei 2025. Ini merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia sejak memegang jawatan berkenaan pada 4 April 2021. Beliau akan diiringi oleh pegawai-pegawai kanan Kabinet Presiden Kosovo.

PYT Dr. Osmani Sadriu akan diraikan dalam satu Majlis Sambutan Rasmi di Kompleks Perdana Putra di Putrajaya, dan diikuti dengan mesyuarat bersama YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri. Perbincangan akan tertumpu kepada usaha meningkatkan kerjasama dua hala, khususnya dalam bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan serta kesalinghubungan antara rakyat. Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa berkepentingan bersama, termasuk Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun 2025. Bagi meraikan PYT Osmani Sadriu dan delegasi, YAB Perdana Menteri seterusnya akan menghoskan jamuan tengah hari rasmi di Kompleks Seri Perdana.

Malaysia telah mengiktiraf Republik Kosovo secara rasmi pada 30 Oktober 2008 dan merupakan antara negara di Asia yang pertama mengambil pendekatan tersebut. Hubungan diplomatik rasmi seterusnya telah ditubuhkan pada 18 Mac 2021.

Pada tahun 2024, jumlah dagangan dua hala mencecah RM28.55 juta, dengan jumlah eksport Malaysia ke Kosovo mencecah RM25.92 juta, manakala jumlah import daripada Kosovo sebanyak RM2.63 juta. Eksport utama Malaysia ke Kosovo adalah minyak sawit, produk elektrik dan elektronik serta hasil kilang, manakala import daripada Kosovo terdiri daripada bahan mentah serta batuan separa berharga.

 

PUTRAJAYA

30 April 2025