Back

LAWATAN RASMI SETIAUSAHA LUAR DAN HAL EHWAL KOMANWEL UNITED KINGDOM, TYT DOMINIC RAAB KE MALAYSIA PADA 11 FEBRUARI 2020

LAWATAN RASMI SETIAUSAHA LUAR DAN HAL EHWAL KOMANWEL UNITED KINGDOM, 
TYT DOMINIC RAAB KE MALAYSIA PADA 11 FEBRUARI 2020

 

YB Dato’ Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri akan menerima lawatan rasmi pertama TYT Dominic Raab, Setiausaha Luar dan Hal Ehwal Komanwel United Kingdom (UK) ke Malaysia pada 11 Februari 2020.

 

TYT Raab telah dilantik sebagai Setiausaha Luar dan Hal Ehwal Komanwel United Kingdom pada 24 Julai 2019.

 

Kedua-dua Menteri dijadualkan untuk mengadakan pertemuan dua hala di Kementerian Luar Negeri, Putrajaya. Pelbagai isu akan dibincangkan termasuklah usaha-usaha untuk meningkatkan hubungan kerjasama dua hala, ASEAN, BREXIT, isu-isu serantau dan perkembangan terkini isu-isu antarabangsa.

 

Setiausaha Luar dan Hal Ehwal Komanwel UK juga dijadualkan untuk mengadakan kunjungan hormat ke atas YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia dan bertemu dengan YB Yeo Bee Yin, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) untuk mengukuhkan kerjasama dua hala dalam isu berhubung alam sekitar dan perubahan iklim.

 

Hubungan dua hala di antara Malaysia dan UK telah lama terjalin dan merangkumi kerjasama dalam pelbagai aspek. Pada tahun 2019, nilai dagangan di antara Malaysia dan UK adalah sebanyak RM16.44 bilion. Pelaksanaan Brexit dilihat akan memberi dinamik dan perspektif baru dalam hubungan kedua-dua negara.

 

PUTRAJAYA

10 Februari 2020