Back

LAWATAN RASMI YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB PERDANA MENTERI MALAYSIA KE KEMBOJA DAN THAILAND 23 – 26 FEBRUARI 2022

 

LAWATAN RASMI YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB

PERDANA MENTERI MALAYSIA KE KEMBOJA DAN THAILAND

23 – 26 FEBRUARI 2022

 

YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia akan mengadakan lawatan rasmi sulung beliau ke Kemboja dan Thailand dari 23 hingga 26 Februari 2022. Lawatan-lawatan tersebut adalah untuk memenuhi jemputan daripada TYT Samdech Techo Hun Sen, Perdana Menteri Kemboja, dan TYT Jeneral Prayut Chan-o-cha, Perdana Menteri Thailand.

 

Semasa lawatan rasmi ke Kemboja, YAB Perdana Menteri dijadual mengadakan kunjungan menghadap ke atas YM Raja Norodom Sihamoni, Raja Kemboja, di samping pertemuan dengan TYT Perdana Menteri Hun Sen untuk membincangkan pengukuhan hubungan dua hala, kerjasama pasca pandemik COVID-19, kerjasama ASEAN, serta isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama. YAB Perdana Menteri juga akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Senat dan Presiden Dewan Rakyat Kemboja. Seterusnya, YAB Perdana Menteri akan turut bertemu dengan Keluarga Malaysia di Kemboja.

 

Semasa lawatan rasmi ke Thailand, YAB Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri TYT Jeneral Prayut Chan-o-cha. Pertemuan tersebut akan memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin membincangkan hala tuju kerjasama pelbagai bidang antara Malaysia dan Thailand. Bidang - bidang utama meliputi kerjasama ekonomi, kerjasama pasca pandemik COVID - 19, pembukaan sempadan antara kedua-dua negara, dan projek-projek kesalinghubungan di kawasan sempadan darat. Program YAB Perdana Menteri turut meliputi sesi dengan Dewan Perniagaan Malaysia – Thailand (MTCC) dan sesi ramah mesra bersama Keluarga Malaysia di Bangkok.

 

Lawatan-lawatan YAB Perdana Menteri ke Kemboja dan Thailand mencerminkan hubungan rapat dan menyeluruh Malaysia dengan kedua-dua negara jiran and rakan ASEAN tersebut. Ianya juga dapat membuka peluang kepada Malaysia dan kedua-dua negara berkenaan untuk meneroka inisiatif bersama dalam usaha pemulihan pasca-pandemik, serta dalam menangani cabaran serantau dan antarabangsa.

 

YAB Perdana Menteri akan diiringi oleh YB Dato’ Sri Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri, YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, YB Datuk Seri Jalaluddin Alias, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, YB Datuk Seri Hj. Mohd Salim Mohd Sharif, Pengerusi RISDA serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

 

Lawatan-lawatan ini akan berlangsung mengikut pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi pencegahan COVID-19 yang berkuatkuasa di Malaysia, Kemboja dan Thailand.

 

PUTRAJAYA

23 Februari 2022