LAWATAN RASMI YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB PERDANA MENTERI MALAYSIA KE NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 14 – 15 FEBRUARI 2022
LAWATAN RASMI YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
PERDANA MENTERI MALAYSIA KE NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 14 – 15 FEBRUARI 2022
YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia akan mengadakan lawatan rasmi pertama beliau ke Bandar Seri Begawan dari 14 hingga 15 Februari 2021 sejak menjadi Perdana Menteri Malaysia pada 21 Ogos 2021.
YAB Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Kedua-dua pemimpin akan mengambil peluang untuk menilai kemajuan kerjasama yang sedang berjalan disamping mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama pasca COVID-19 yang akan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara. Ini termasuk perbincangan mengenai cadangan pengwujudan aturan Laluan Perjalanan Vaksin (VTL) melalui udara di antara Malaysia dan Brunei, kerjasama dalam bidang diplomasi kesihatan, dan cadangan ke arah pengukuhan kerjasama ekonomi. Pertemuan ini akan disusuli dengan Majlis Santapan Rasmi yang akan dihoskan oleh Paduka Seri Baginda Sultan Brunei. YAB Perdana Menteri juga akan menghadiri sesi pertemuan bersama diaspora Malaysia di Bandar Seri Begawan.
YAB Perdana Menteri akan diiringi oleh isteri, YABhg. Datin Sri Muhaini Zainal Abidin, dan juga YB Dato’ Sri Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri, YB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof, Menteri Kanan Kerja Raya, YB Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim, Menteri Wilayah Persekutuan serta Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan.
Lawatan ini dirancang dan dikendalikan berdasarkan tatacara Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia dan Negara Brunei Darussalam.
PUTRAJAYA
13 FEBRUARI 2022