LAWATAN RASMI YAB PERDANA MENTERI KE REPUBLIK KOREA 24-26 NOVEMBER 2024
LAWATAN RASMI YAB PERDANA MENTERI KE REPUBLIK KOREA
24-26 NOVEMBER 2024
YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri akan mengadakan Lawatan Rasmi ke Republik Korea dari 24 hingga 26 November 2024, atas jemputan Tuan Yang Terutama Yoon Suk Yeol, Presiden Republik Korea. YAB Perdana Menteri akan diiringi oleh YB Dato' Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan, Menteri Luar Negeri; YB Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri; YB Chang Li Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi; YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara; dan pegawai-pegawai kanan Kerajaan. Lawatan ini merupakan lawatan rasmi pertama YAB Perdana Menteri ke Republik Korea sejak menyandang jawatan pada November 2022.
YAB Perdana Menteri akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Yoon di Pejabat Presiden Yongsan. Kedua-dua pemimpin akan menilai hubungan dua hala antara Malaysia dan Republik Korea yang telah berkembang maju dari segi skop dan intipati sejak penubuhan hubungan diplomatik pada tahun 1960. Kedua-dua pemimpin juga dijangka berbincang isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, dan bertukar pandangan mengenai kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dan kepengerusian APEC-Republik Korea 2025.
Kedua-dua pemimpin turut akan menyaksikan majlis pertukaran tiga Memorandum Persefahaman:
• Kerjasama Pendidikan Tinggi
• Kerjasama Pemerangkapan dan Penyimpanan Karbon
• Pendekatan Kerjasama di Bawah Artikel 6, Perenggan 2 Perjanjian Paris
YAB Perdana Menteri dijadualkan untuk menghadiri Forum Perniagaan Malaysia-Republik Korea dan mengadakan pertemuan dengan kapten industri dari syarikat-syarikat terkemuka Republik Korea. YAB Perdana Menteri juga dijadualkan untuk menyampaikan ucapan khas bertajuk “Strategic Partners in a Complex World: Malaysia, Korea, and the Future of Asia” di Seoul National University.
Dari Januari hingga September 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan Republik Korea mencatat sebanyak RM81.61 bilion (USD17.63 bilion). Dari 1980 hingga Jun 2024, sebanyak 392 projek sektor pembuatan dengan kepentingan Republik Korea telah dilaksanakan di Malaysia dengan nilai pelaburan mencecah RM43.10 bilion (USD11.50 bilion). Pada tahun 2023, Republik Korea merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia dengan jumlah dagangan sebanyak RM111.07 bilion (USD24.35 bilion). Malaysia ialah rakan dagang ketiga terbesar Republik Korea di kalangan Negara-negara Anggota ASEAN dan ke-12 terbesar di peringkat global.
Lawatan rasmi ini akan mengukuhkan lagi hubungan dua hala sedia ada antara Malaysia dan Republik Korea. Kedua-dua buah negara akan menyambut ulang tahun ke-65 penubuhan hubungan diplomatik pada tahun 2025.
PUTRAJAYA
24 November 2024