LAWATAN RASMI YAB PERDANA MENTERI KE REPUBLIK RAKYAT BANGLADESH 4 OKTOBER 2024
LAWATAN RASMI YAB PERDANA MENTERI KE REPUBLIK RAKYAT BANGLADESH
4 OKTOBER 2024
YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri akan mengadakan Lawatan Rasmi ke Republik Rakyat Bangladesh pada 4 Oktober 2024, atas jemputan Ketua Penasihat Kerajaan Interim Bangladesh, Dr Muhammad Yunus, yang juga tokoh hadiah Nobel pada tahun 2006.
YAB Perdana Menteri akan diiringi oleh YB Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan,Menteri Luar Negeri; YB Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Aziz, Menteri Pelaburan,Perdagangan dan Industri; YB Datuk Haji Hasbi Bin Haji Habibollah; Timbalan Menteri Pegangkutan; dan YB Senator Dr Zulkifli bin Hasan, Timbalan Menteri (Hal Ehwal Agama) di Jabatan Perdana Menteri.
YAB Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dua hala dengan Ketua Penasihat Kerajaan Interim Bangladesh bagi membincangkan hubungan dua hala Malaysia dan Bangladesh, serta memperkukuhkan lagi persahabatan antara kedua-dua negara. YAB Perdana Menteri juga dijangka mengadakan kunjungan hormat ke atas TYT Mohammed Shahabuddin, Presiden Republik Rakyat Bangladesh sebelum pulang ke Kuala Lumpur pada hari yang sama.
Pada tahun 2023, terdapat seramai 6,288 pelajar Bangladesh yang menuntut di institusi pengajian tinggi Malaysia dalam pelbagai bidang pengajian. Pekerja Bangladesh juga telah sekian lama menyumbang kepada pembangunan ekonomi Malaysia.
Pada tahun 2023, Bangladesh merupakan rakan dagang ke-27 terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-19 terbesar dan sumber import ke-47 terbesar. Bangladesh juga merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di antara negara Asia Selatan.
Pada tahun 2023, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Bangladesh berjumlah RM12.7 bilion (USD2.78 bilion), iaitu penurunan sebanyak 35.5% berjumlah RM19.69 bilion (USD4.46 bilion) pada tahun 2022. Pada enam bulan pertama 2024, jumlah perdagangan telah meningkat kepada 18.1% iaitu sebanyak RM8.27 bilion (USD1.75 bilion) berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023. Imbangan dagangan yang memihak kepada Malaysia juga meningkat dalam tempoh yang sama kepada RM6.65 bilion (USD1.39 bilion).
PUTRAJAYA
3 Oktober 2024



