Back

LAWATAN RASMI YAB TAN SRI DATO’ SRI HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD. YASSIN PERDANA MENTERI MALAYSIA KE JAKARTA, REPUBLIK INDONESIA

 

LAWATAN RASMI

YAB TAN SRI DATO’ SRI HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD. YASSIN

PERDANA MENTERI MALAYSIA

KE JAKARTA, REPUBLIK INDONESIA

4-5 FEBRUARI 2021

________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________

 

YAB Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Sri Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin akan mengadakan lawatan rasmi ke Republik Indonesia pada 4 hingga 5 Februari 2021. Lawatan ini merupakan lawatan rasmi pertama YAB Perdana Menteri sejak beliau dilantik pada Mac 2020.

 

A. MALAYSIA MEMENUHI JEMPUTAN INDONESIA

Lawatan rasmi ini diadakan berasaskan beberapa sebab, antara lain:

  1. YAB Perdana Menteri mendapat jemputan khas untuk mengadakan lawatan rasmi daripada Presiden Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama (TYT) Joko Widodo selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia pada Mac 2020. Atas dasar menghormati Indonesia sebagai rakan negara serumpun yang telah menjalin persahabatan akrab selama berpuluh tahun, Malaysia memenuhi jemputan ini.
  1. Terdapat beberapa perkara yang menyentuh kepentingan kedua-dua negara memerlukan perbincangan teliti serta kesepakatan. Sebahagian perkara yang bakal dibincangkan melibatkan isu-isu penting termasuk kerjasama ekonomi, isu keselamatan serantau dan dua hala serta usaha menangani secara bersama pandemik Covid-19. Oleh sebab itu, pemimpin tertinggi kedua negara bersetuju mengadakan perbincangan secara bersemuka.
  1. Indonesia sentiasa menjadi destinasi pertama lawatan rasmi YAB Perdana Menteri Malaysia selepas dilantik. Seperti kelaziman, tradisi yang sama juga diamalkan oleh Presiden Republik Indonesia.

 

B. LAWATAN DIADAKAN SECARA SINGKAT

 

Memandangkan pandemik Covid-19 khususnya di Malaysia dan Indonesia masih berlarutan, YAB Perdana Menteri sendiri meminta agar lawatan rasmi bagi memenuhi jemputan Kerajaan Indonesia ini diadakan secara singkat iaitu kurang daripada 24 jam. Permintaan ini telah dimaklumkan dan diterima baik oleh Kerajaan Indonesia.

Presiden Republik Indonesia, TYT Joko Widodo sendiri juga telah mengarahkan agar tempat acara rasmi yang sepatutnya berlangsung di Istana Bogor di Bogor, Jawa Barat dipindahkan ke Istana Merdeka di Jakarta atas sebab kepentingan logistik YAB Perdana Menteri Malaysia.

Program lawatan rasmi ini juga diringkaskan. Menteri Luar Negeri Malaysia, YB Dato’ Seri Hishammuddin Hussein bersama beberapa orang pegawai kanan Kementerian Luar Negeri terlebih dahulu akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar Indonesia, Puan Yang Terutama (PYT), Retno Marsudi sebelum lawatan rasmi YAB Perdana Menteri bermula.

Lawatan rasmi YAB Perdana Menteri ke atas Presiden Joko Widodo akan bermula pada pagi Jumaat. Selepas perbincangan empat mata di sebelah pagi, kedua-dua pemimpin akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Baiturrahim yang berada di dalam Istana Merdeka sebelum ke Jamuan Makan Tengahari Rasmi yang akan dihoskan oleh Presiden Joko Widodo. Selepas jamuan tersebut, YAB Perdana Menteri bersama delegasi Malaysia akan terus pulang ke tanah air dan seterusnya menjalani kuarantin wajib seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

 

C.LAWATAN DIADAKAN DENGAN JUMLAH DELEGASI YANG KECIL SERTA PENETAPAN PROSEDUR OPERASI STANDARD

(SOP) PENCEGAHAN COVID-19 YANG AMAT KETAT

 

Untuk meminimumkan risiko dijangkiti Covid-19, lawatan rasmi YAB Perdana Menteri ke Indonesia hanya diiringi oleh delegasi kecil. Hanya seorang Menteri Kabinet akan mengiringi YAB Perdana Menteri iaitu Menteri Luar Negeri, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Selain delegasi kecil, lawatan ini juga tertakluk kepada SOP pencegahan Covid-19 yang amat ketat seperti yang dipersetujui oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Indonesia. SOP ini termasuklah :

  1. Delegasi Malaysia diwajibkan menjalani swab test sebelum berlepas ke Indonesia. Hanya individu yang tidak bergejala dan disahkan negatif Covid-19 48 jam sebelum sahaja dibenarkan mengikuti lawatan rasmi ini.
  2. Lawatan ini akan menggunakan pesawat khas Kerajaan bukan pesawat komersial bagi mewujudkan travel bubble ke Indonesia. 
  3. Delegasi Malaysia sekali lagi diwajibkan menjalani swab test sebaik sahaja tiba di lapangan terbang di Jakarta. Hanya individu yang negatif Covid-19 sahaja akan dibawa terus ke hotel penginapan.
  4. Delegasi Malaysia akan terus dibawa ke hotel penginapan sebaik sahaja disahkan negatif Covid-19 oleh pihak berwajib Indonesia. Delegasi Malaysia tidak dibenarkan bergerak bersendirian apatah lagi pergi ke tempat-tempat selain daripada tempat rasmi lawatan.
  5. Delegasi Malaysia hanya dibenarkan berada di dalam bilik penginapan dan tempat-tempat rasmi lawatan sahaja.
  6. Delegasi Malaysia diwajibkan memakai pelitup separa muka (face mask) setiap masa sepanjang berada di tempat-tempat rasmi lawatan.
  7. Tiada sesi berjabat tangan, berpelukan dan bersentuhan sepanjang lawatan rasmi ini berlangsung.
  8.  Pihak Kerajaan Indonesia telah memberi jaminan akan menganjurkan lawatan rasmi ini dengan SOP pencegahan Covid-19 yang amat ketat.
  9.  Delegasi Malaysia perlu menjalani kuarantin wajib sebaik pulang ke tanah air seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

 

D. KEPENTINGAN LAWATAN INI KEPADA MALAYSIA DAN INDONESIA

Menerusi lawatan ini, pemimpin tertinggi kedua-dua negara akan membincangkan beberapa aspek yang cukup penting bukan sahaja dalam usaha menangani cabaran pandemik Covid-19 tetapi juga dalam bidang-bidang lain. Ini termasuklah :

  1. Memperkukuh perancangan bagi bersama-sama memerangi diskriminasi minyak sawit terhadap Malaysia dan Indonesia di peringkat antarabangsa. Indonesia dan Malaysia merupakan pengeluar minyak sawit terbesar dunia. Kelangsungan dalam sektor komoditi ini amat penting demi manfaat ekonomi kedua-dua negara. Ia juga penting demi kebajikan lebih 600,000 pekebun kecil sawit khususnya di Malaysia.
  2. Memperkukuh kerjasama dalam memerangi isu alam sekitar khususnya masalah jerebu yang rentas sempadan. 
  1. Meningkatkan usahasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan termasuk membincangkan potensi keterlibatan syarikat Malaysia dalam usaha menjayakan rancangan Indonesia memindahkan ibu kota dari Jakarta ke Kalimantan Timur. Potensi keterlibatan Malaysia dalam projek ini berupaya membantu usaha pemulihan ekonomi serantau terutama di era pasca pandemik.
  2. Mempertingkatkan rundingan untuk melaksanakan skim Laluan Hijau Timbal Balik atau Reciprocal Green Lane (RGL) di antara kedua-dua negara atas tujuan rasmi serta perniagaan. Penting untuk ditegaskan bahawa perbincangan ini adalah bagi memperincikan SOP yang boleh dipersetujui oleh kedua-dua negara. Walaubagaimanapun, pelaksanaannya bukan secara serta merta. Keputusan untuk melaksanakan RGL ini bergantung kepada kelulusan daripada pihak berkuasa kesihatan di kedua-dua negara.      
  3. Berkongsi kaedah dan memperoleh informasi hasil penggunaan vaksin Covid-19 khususnya oleh Indonesia yang telah memulakan program vaksinasi kepada rakyatnya. Hasil perkongsian ini amat penting dan boleh dimanfaatkan Malaysia sebelum negara melaksanakan program vaksinasi.

 

 

 

PUTRAJAYA

3 FEBRUARI 2021