Back

LAWATAN RASMI YAB TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN PERDANA MENTERI MALAYSIA KE ARAB SAUDI DAN EMIRIAH ARAB BERSATU (UAE) 6-11 MAC 2021

LAWATAN RASMI

YAB TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN PERDANA MENTERI MALAYSIA

KE ARAB SAUDI DAN EMIRIAH ARAB BERSATU (UAE)

6-11 MAC 2021

 

YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin akan mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi dari 6 hingga 9 Mac 2021. Susulan itu, YAB Perdana Menteri

akan meneruskan lawatan rasmi ke Emiriah Arab Bersatu ( United Arab Emirates – UAE) dari 9 hingga 11 Mac 2021. Lawatan ini merupakan lawatan rasmi pertama YAB

Perdana Menteri ke Arab Saudi dan UAE sejak beliau dilantik pada 1 Mac 2020.

 

A. HUBUNGAN DUA HALA MALAYSIA - ARAB SAUDI

 

  1. YAB Perdana Menteri menerima jemputan untuk mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi daripada Yang Maha Mulia Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, Penjaga Dua Masjid Suci pada bulan April 2020. Atas dasar keakraban dan hubungan yang telah terjalin sekian lama di antara kedua-dua buah negara, Malaysia memenuhi jemputan daripada Saudi Arabia. YAB Perdana Menteri merupakan Ketua Kerajaan yang pertama dijemput oleh Yang Maha Mulia Raja Salman Abdulaziz Al-Saud untuk mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi susulan dari Persidangan Al-Ula pada 5 Januari 2021 yang lalu.

 

  1. Hubungan dua hala di antara Malaysia dengan Arab Saudi merangkumi spektrum kerjasama yang luas termasuk perdagangan, pelaburan, hal ehwal islam, pendidikan dan hubungan sesama manusia. Kedua-dua negara sentiasa menunjukkan kesungguhan untuk meningkatkan hubungan sedia ada ke tahap yang lebih komprehensif dan strategik. Justeru, lawatan ini bukan sekadar memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk memperkukuhkan kerjasama sedia ada, malah turut memberi peluang untuk menjalin peluang kerjasama baharu di dalam pelbagai bidang seperti teknologi dan inovasi, serta kerjasama dalam bidang tenaga. Pengstrukturan semula ekonomi Arab Saudi yang sedang dilaksanakan berpandukan Visi 2030, telah memperluaskan lagi skop peluang kerjasama antara Malaysia-Arab Saudi.

 

  1. Lawatan rasmi YAB Pendana Menteri turut mencerminkan kepentingan yang telah diberikan dalam hubungannya dengan Arab Saudi, sebagai salah satu rakan terpenting di Timur Tengah. Sebagai sebuah negara Muslim yang moden dan progresif, kedua-dua negara berkongsi kepentingan bersama dalam meningkatkan lagi hubungan ke tahap yang lebih tinggi untuk kepentingan rakyat kedua-dua buah negara serta kepentingan Ummah secara keseluruhannya.

 

  1. KEPENTINGAN LAWATAN INI KEPADA MALAYSIA DAN ARAB SAUDI

 

Malaysia dan Arab Saudi akan membincangkan usaha-usaha untuk memperkukuhkan lagi hubungan dua hala sedia ada selain meneroka peluang kerjasama baharu

dalam meningkatkan hubungan ke peringkat lebih strategik . Ini termasuklah:

 

  1. Menubuhkan Jawatankuasa Strategik Peringkat Tertinggi (High level Strategic Committee - HLSC) di peringkat Menteri Luar Negeri sebagai platform menyeluruh hubungan dua hala. HLSC akan membuka ruang kepada perundingan berkala di antara Malaysia dan Arab Saudi dalam pelbagai bidang, antaranya, isu - isu politik keselamatan antarabangsa, pemulihan ekonomi pasca COVID-19, urusan Haji dan Umrah, keselamatan makanan dan perdagangan minyak kelapa sawit.

 

  1. Memacu kerjasama dalam bidang sains dan teknologi yang akan menyumbang kepada kepentingan strategik dan ekonomi kedua -dua negara. Ini termasuklah cadangan penubuhan Pusat Inovasi Teknikal Malaysia–Arab Saudi yang akan menjadi platform bagi menggalakkan kolaborasi di antara kedua -dua negara dalam kerjasama pembangunan bandar pintar, kecerdasan buatan ( Artificial Intelligence – A.I.) dan Revolusi Industri Keempat (Fourth Industrial Revolution – IR 4.0).

 

  1. Mengukuhkan kerjasama dalam bidang Haji dan Umrah dengan pemeteraian inisiatif Mecca Road Service yang akan memudahkan proses pra-pelepasan ibadah Haji dan umrah bagi Jemaah Malaysia, seperti urusan penerbangan, semakan visa dan passport, prosedur kastam dan urusan logistik lain.

 

  1. Kuota Haji, serta prosedur Haji dan Umrah bagi jemaah dari Malaysia.

 

  1. Meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala, termasuk dalam sektor minyak dan gas, serta tenaga boleh diperbaharui (renewable energy). Ini termasuklah kerjasama dalam bidang teknologi-teknologi baru, seperti hidrogen, tenaga angin, dan penangkapan karbon.

 

  1. Mengukuhkan usahasama dan maklumbalas dalam menghadapi pandemik COVID-19, termasuklah impak sosioekonomi kepada kedua-dua buah negara. Arab Saudi merupakan negara penyumbang alatan perubatan COVID -19 terbesar kepada Malaysia semasa permulaan pandemik.

 

  1. Meneroka pasaran baru bagi eksport kelapa sawit di Arab Saudi, serta rantau Timur Tengah dan Afrika.

 

  1. Mengukuhkan kerjasama dalam industri halal termasuklah usahasama di antara badan persijilan halal bagi kedua-dua negara.

 

  1. Bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama terutamanya mengenai penyelesaian damai bagi konflik serantau.

 

  1. HUBUNGAN MALAYSIA - UAE

 

  1. Lawatan ini memperlihatkan hubungan yang erat, kukuh dan perkongsian strategik antara Malaysia dan UAE dalam bidang -bidang berkepentingan bersama. Ia juga bakal memacu usaha-usaha dalam meningkatkan kerjasama ekonomi dan perdagangan dengan UAE selaku rakan dagang terbesar Malaysia di Timur Tengah. Kedudukan UAE yang merupakan hab perdagangan dan kewangan antarabangsa menjadikan UAE sebagai rakan yang penting bagi Malaysia untuk meneroka pasaran baru. Manakala Malaysia merupakan negara pintu masuk yang penting bagi produk dan perkhidmatan dari UAE ke Asia Tenggara.

 

  1. Lawatan rasmi YAB Perdana Menteri mencerminkan kepentingan yang Malaysia bagi memperkukuhkan lagi hubungan kerjasama dengan UAE. Lanjutan daripada cabaran-cabaran pandemik COVID-19, lawatan ini akan menjadi pemangkin kepada daya tahan dan pertumbuhan, terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertanian dan keselamatan makanan, kesihatan dan pertukaran diplomasi.

 

  1. KEPENTINGAN LAWATAN INI KEPADA MALAYSIA DAN EMIRIAH ARAB BERSATU

 

Malaysia dan UAE akan membincangkan usaha untuk memperkukuh hubungan dua hala sedia ada selain meneroka peluang kerjasama baharu dalam pelbagai bidang

 

bagi meningkatkan hubungan sedia ada ke peringkat lebih strategik. Ini termasuklah cadangan-cadangan berikut:

 

  1. Mempertingkatkan kerjasama dua hala dalam menghadapi cabaran sedia ada dan akan datang termasuklah kerjasama dalam fasa pemulihan pasca pandemik menerusi teknologi, inovasi dan kerjasama ekonomi.

 

  1. Penubuhan Gabungan Keselamatan Makanan Antarabangsa ( International Food Security Coalition - IFSC) dengan matlamat utama untuk mewujudkan daya tahan dan keteguhan dalam rantaian bekalan makanan global. Sebagai langkah permulaan, Malaysia dan UAE akan menandatangai Memorandum Persefahaman mengenai Penubuhan Kerjasama Diplomasi Makanan Malaysia - UAE (Memorandum of Understanding on the Establishment of the Food Diplomacy Cooperation).

 

  1. Pengukuhan kerjasama dalam industri minyak dan gas. Ini termasuklah kerjasama antara pemain-pemain industri dari Malaysia dan UAE dalam kegiatan perniagaan sedia ada, serta potensi peluang dalam sektor huluran (upstream) dan hiliran (downstream).

 

  1. Penubuhan Kursi Sheikh Zayed bin Sultan Al Nahyan (Sheikh Zayed bin Sultan Al Nahyan Chair) di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS). Kursi tersebut diwujudkan bagi menggalakkan pemahaman dan hubungan di antara kedua-dua negara di samping mempromosikan konsep tadbir urus baik, tanggungjawab terhadap alam sekitar dan toleransi antara agama seperti yang diterapkan oleh Almarhum Sheikh Zayed bin Sultan Al Nahyan.

 

  1. Mengukuhkan kerjasama dalam industri halal termasuklah usahasama badan persijilan halal bagi kedua-dua negara.

 

  1. Bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama terutamanya penyelesaian damai bagi konflik serantau.

 

  1. PROGRAM RASMI

 

  1. Di Arab Saudi, YAB Perdana Menteri akan mengerjakan Umrah di Mekah, diikuti ziarah di Madinah dari 6 hingga 8 Mac 2021 di atas jemputan Yang Maha Mulia Raja Salman Abdulaziz Al-Saud. Program rasmi YAB Perdana Menteri akan berlangsung di Istana Al-Yamamah, Riyadh pada 9 Mac 2021. Ini meliputi majlis sambutan rasmi, sesi mengadap secara maya dengan Yang Maha Mulia Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, pertemuan dengan Yang Teramat Mulia Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al -Saud, Putera Mahkota, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Arab Saudi, majlis menandatangani memoranda persefahaman serta majlis makan rasmi.

 

  1. Di UAE, program rasmi YAB Perdana Menteri akan berlangsung di Abu Dhabi dan Dubai pada 10 Mac 2021. Program tersebut termasuklah pertemuan dengan Yang Mulia Sheikh Mohamad bin Zayed Al Nahyan, Putera Mahkota Abu Dhabi, Timbalan Panglima Tertinggi Angkatan Tentera UAE dan Yang Mulia Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE, Pemerintah Dubai.

 

F. LAWATAN DIADAKAN DENGAN JUMLAH DELEGASI YANG KECIL SERTA KEPATUHAN TERHADAP PROSEDUR OPERASI STANDARD (SOP) PENCEGAHAN

COVID-19

 

YAB Perdana Menteri akan hanya diiringi oleh delegasi kecil yang terdiri daripada Menteri Luar Negeri, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein dan pegawai-

pegawai kanan daripada Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar Negeri.

 

Lawatan rasmi ini juga tertakluk kepada SOP pencegahan Covid-19 yang ketat sebagaimana yang telah dipersetujui oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan

Majlis Keselamatan Negara (MKN), serta Kementerian Kesihatan Arab Saudi dan Kementerian Kesihatan dan Pencegahan UAE, seperti berikut:

 

  1. Delegasi Malaysia perlu mengemukakan keputusan negatif ujian PCR dalam tempoh 120 jam (5 hari), dan 24 jam (1 hari) sebelum pertemuan -pertemuan rasmi di Arab Saudi;

 

  1. Delegasi akan menggunakan pesawat khas dan bukan pesawat komersil bagi mewujudkan travel bubble ke Arab Saudi dan UAE;

 

  1. Delegasi Malaysia perlu mengemukakan keputusan negatif ujian PCR dalam tempoh 48 jam (2 hari) sebelum ketibaan di UAE. Sejurus tiba di UAE, delegasi Malaysia perlu menjalani ujian ‘swab test’ dan akan dikuarantin di tempat penginapan yang telah ditetapkan sehingga menerima keputusan ujian;

 

  1. Delegasi Malaysia diwajibkan memakai pelitup muka setiap masa sepanjang berada di tempat-tempat yang telah ditetapkan semasa lawatan rasmi;

 

  1. Delegasi Malaysia hanya dibenarkan untuk berada di kawasan yang dikhaskan untuk lawatan rasmi;

 

  1. Tidak akan ada sebarang kontak fizikal - berjabat tangan, berpelukan atau bersentuhan sepanjang lawatan rasmi; dan

 

  1. Delegasi Malaysia perlu menjalani kuarantin wajib sebaik tiba di tanah air seperti yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

 

 

PUTRAJAYA

5 MAC 2021