Back

LAWATAN RASMI YAB TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN PERDANA MENTERI MALAYSIA KE NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 4 – 5 APRIL 2021

LAWATAN RASMI

YAB TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN

PERDANA MENTERI MALAYSIA KE NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

4 – 5 APRIL 2021

 

YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengadakan lawatan rasmi ke Bandar Seri Begawan dari 4 hingga 5 April 2021, bersempena Rundingan Pemimpin Tahunan ke-23. Lawatan rasmi ini turut memenuhi jemputan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang telah dipanjangkan kepada YAB Perdana Menteri.

 

Ini merupakan pertemuan kali pertama YAB Perdana Menteri dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di bawah kerangka Rundingan Pemimpin Tahunan.

 

Semasa lawatan tersebut, YAB Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan disusuli dengan Majlis Santapan Rasmi yang akan dihoskan oleh Paduka Seri Baginda Sultan Brunei.

 

A. RUNDINGAN PEMIMPIN TAHUNAN KE-23 MALAYSIA-BRUNEI DARUSSALAM

 

Rundingan Pemimpin Tahunan ini merupakan platform peringkat tertinggi bagi perbincangan mengenai pelbagai isu dua hala, hal ehwal serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama. Kedua-dua pemimpin akan mengambil peluang semasa mesyuarat tahunan ini untuk menilai kemajuan kerjasama yang sedang berjalan di samping mengukuhkan lagi hubungan istimewa dan kerjasama pasca COVID-19 yang akan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara. Ini termasuk perbincangan mengenai cadangan pengwujudan Aturan Laluan Hijau Timbal Balas di antara Malaysia dan Brunei, cadangan kerjasama dalam bidang diplomasi vaksin dan cadangan ke arah pengukuhan kerjasama ekonomi.

 

Satu Kenyataan Bersama akan dikeluarkan di akhir Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-23. Semasa Rundingan ini juga, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pemuktamadan Memorandum Persefahaman dalam bidang Pengurusan Bencana di antara kedua-dua Kerajaan dan pemeteraian perjanjian Unitisation Agreement di antara PETRONAS dan Brunei National Unitisation Secretariat dalam sektor minyak dan gas. Rundingan Pemimpin Tahunan ke-22 telah diadakan di Putrajaya pada 5 Mac 2019.

 

B. LAWATAN DIADAKAN DENGAN JUMLAH DELEGASI YANG KECIL SERTA PENETAPAN PROSEDUR OPERASI STANDARD (SOP) PENCEGAHAN COVID-19 YANG AMAT KETAT

 

Memandangkan pandemik COVID-19 khususnya di Malaysia dan Brunei Darussalam masih berlarutan, YAB Perdana Menteri sendiri telah meminta agar lawatan rasmi bagi memenuhi jemputan Kerajaan Brunei ini diadakan secara singkat iaitu kurang daripada 24 jam.

 

Untuk meminimumkan risiko dijangkiti COVID-19, lawatan rasmi YAB Perdana Menteri ke Brunei Darussalam hanya diiringi oleh delegasi kecil. YAB Perdana Menteri akan diiringi oleh isteri, YABhg. Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Luar Negeri serta Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan.

 

Selain delegasi kecil, lawatan ini juga tertakluk kepada SOP pencegahan COVID-19 yang amat ketat seperti yang dipersetujui oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Brunei Darussalam. SOP ini termasuklah :

 

i. Delegasi Malaysia diwajibkan menjalani swab test sebelum berlepas ke Brunei Darussalam. Hanya individu yang tidak bergejala dan disahkan negatif COVID-19 72 jam sebelum berlepas sahaja dibenarkan mengikuti lawatan rasmi ini;

 

ii. Lawatan ini akan menggunakan pesawat khas Kerajaan bagi mewujudkan travel bubble ke Brunei Darussalam;

 

iii. Delegasi Malaysia sekali lagi diwajibkan menjalani swab test sebaik sahaja tiba di lapangan terbang di Bandar Seri Begawan. Hanya individu yang negatif COVID-19 sahaja akan dibawa terus ke hotel penginapan;

 

iv.        Delegasi Malaysia akan terus dibawa ke hotel penginapan sebaik sahaja disahkan negatif COVID-19 oleh pihak berwajib Brunei Darussalam;

 

v. Delegasi Malaysia tidak dibenarkan bergerak bersendirian atau pergi ke tempat-tempat selain daripada tempat rasmi lawatan. Delegasi Malaysia hanya dibenarkan berada di dalam bilik penginapan dan tempat-tempat rasmi lawatan sahaja;

 

vi.       Brunei Darussalam juga merupakan negara zon hijau. Setakat ini, dilaporkan bahawa Brunei Darussalam tidak mempunyai kes COVID-19 jangkitan tempatan selama lebih daripada 250 hari; dan

 

vii.        Pihak Kerajaan Brunei Darussalam telah memberi jaminan akan menganjurkan lawatan rasmi ini dengan SOP pencegahan COVID-19 yang amat ketat.

 

PUTRAJAYA

3 APRIL 2021