LAWATAN RASMI YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEMAJUAN DESA DAN WILAYAH KE REPUBLIK RAKYAT CHINA 22 MEI - 1 JUN 2024
LAWATAN RASMI YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEMAJUAN DESA
DAN WILAYAH KE REPUBLIK RAKYAT CHINA
22 MEI - 1 JUN 2024
YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, akan mengadakan Lawatan Rasmi ke Republik Rakyat China (RRC) dari 22 Mei hingga 1 Jun 2024 di atas jemputan TYT Ding Xuexiang, Timbalan Perdana Menteri RRC. Ini merupakan Lawatan Rasmi pertama beliau ke China sejak menyandang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada Disember 2022.
YAB Timbalan Perdana Menteri akan diiringi oleh YB Datuk Mohamad bin Alamin, Timbalan Menteri Luar Negeri.
Semasa lawatan, YAB Timbalan Perdana Menteri dijadualkan untuk melakukan kunjungan hormat ke atas TYT Perdana Menteri Li Qiang. Untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala, YAB Timbalan Perdana Menteri dijangka meneroka peluang kerjasama di antara Malaysia dan China, terutamanya dalam bidang pendidikan dengan tumpuan kepada Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pembangunan industri halal serta hubungan sesama rakyat. Selain itu, kedua-dua pihak juga akan bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang melibatkan kepentingan bersama.
Semasa di Beijing, YAB Timbalan Perdana Menteri juga akan mengadakan perbincangan dengan TYT Ding Xuexiang, Timbalan Perdana Menteri dan TYT Wang Xiaohong, Penasihat Negara dan Menteri Keselamatan Awam.
Sempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-RRC, YAB Timbalan Perdana Menteri akan menghoskan satu Majlis Resepsi Gala dan menghadiri Majlis Makan Tengahari Sambutan Ulang Tahun ke-50 Penubuhan Hubungan Diplomatik Malaysia-China anjuran bersama Persatuan Persahabatan Rakyat China dengan Negara Asing (CPAFFC) dan Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, China.
YAB Timbalan Perdana Menteri juga akan menghadiri Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara syarikat-syarikat Malaysia dan RRC; dalam bidang teknologi tinggi dan pendidikan. Sebagai salah satu inisiatif kerajaan Malaysia MADANI, YAB Timbalan Perdana Menteri juga akan bertemu dengan komuniti Malaysia di China.
Di Hong Kong, YAB Timbalan Perdana Menteri akan bertemu dengan TYT John Lee Ka-chiu, Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR).
Lawatan rasmi ini adalah sebahagian daripada pertukaran lawatan peringkat tinggi yang dirancang untuk tahun ini bagi menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik di antara Malaysia dan RRC. Tun Abdul Razak bin Hussein, Perdana Menteri Malaysia yang kedua, melakar sejarah dengan menjadi pemimpin ASEAN pertama yang menjalinkan hubungan diplomatik rasmi dengan China dengan menandatangani Penyataan Bersama (Joint Communiqué) dengan Perdana Menteri Chou En-lai pada 31 Mei 1974. Langkah penuh bermakna ini menjadi asas bagi perkongsian yang kukuh, yang kemudian dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) pada tahun 2013, yang telah memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
Selama lima belas tahun berturut-turut sejak 2009, China merupakan rakan perdagangan Malaysia yang terbesar. Pada tahun 2023, jumlah perdagangan dengan China bernilai RM450.84 bilion (USD98.80 bilion), menyumbang 17.1% peratus daripada perdagangan global Malaysia. Pada tahun 2023, sejumlah 64 projek pembuatan telah diluluskan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM12 bilion (USD2.6 billion). China menduduki tempat kelima pelabur terbesar dan projek-projek ini dijangka mewujudkan 9,305 peluang pekerjaan.
PUTRAJAYA
21 Mei 2024



