Back

LAWATAN RASMI YB DATO’ SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN MENTERI LUAR NEGERI MALAYSIA KE NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 28 FEBRUARI – 1 MAC 2021

LAWATAN RASMI

YB DATO’ SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN

MENTERI LUAR NEGERI MALAYSIA KE NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

28 FEBRUARI – 1 MAC 2021

 

YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein akan mengadakan lawatan rasmi ke Bandar Seri Begawan dari 28 Februari hingga 1 Mac 2021. Ini merupakan lawatan pertama beliau ke Negara Brunei Darussalam setelah dilantik menjadi Menteri Luar Negeri pada 10 Mac 2020. YB Menteri Luar Negeri akan diiringi delegasi kecil yang terdiri daripada pegawai-pegawai daripada Wisma Putra.

 

Lawatan rasmi ini adalah untuk memenuhi jemputan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada YB Menteri Luar Negeri.

 

Semasa lawatan tersebut, YB Menteri Luar Negeri akan menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan sebelum itu beliau akan bertemu dengan rakan sejawat, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan Haji Mohd Yusof, Menteri Luar Negeri II Brunei Darussalam.

 

Kedua-dua pihak akan menilai kemajuan kerjasama yang sedang berjalan disamping mengukuhkan lagi hubungan istimewa sedia ada dan kerjasama pasca COVID-19 yang akan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua buah negara. Kedua-dua Menteri Luar Negeri akan berbincang mengenai perkara di bawah mekanisma dua hala terutamanya mengenai Rundingan Pemimpin Tahunan, kerjasama dalam bidang perdagangan, sektor minyak dan gas, isu persempadanan darat serta Kepengerusian ASEAN 2021 oleh Brunei Darussalam.

 

Lawatan ini dirancang dan dikendalikan berdasarkan tatacara-tatacara dan Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan COVID-19 yang amat ketat seperti ditetapkan oleh Kerajaan Brunei Darussalam dan Kerajaan Malaysia.

 

PUTRAJAYA

27 Februari 2021