Back

MAJLIS BAGI MERAIKAN SUMBANGAN PENAJA MALAYSIA'S DIPLOMATIC EQUIPMENT STOCKPILE (MDES)

MAJLIS BAGI MERAIKAN SUMBANGAN PENAJA MALAYSIA'S DIPLOMATIC EQUIPMENT STOCKPILE (MDES)

Kementerian Luar Negeri telah menerima sumbangan daripada penaja-penaja dalam bentuk tajaan barangan dan wang untuk Malaysia’s Diplomatic Equipment Stockpile (MDES) pada 23 April 2020. Sumbangan telah disampaikan kepada wakil Kementerian, YBhg. Dato’ Amran Mohamed Zin, Timbalan Ketua Setiausaha, Jabatan Hubungan Dua Hala dan disaksikan oleh YB Dato’ Kamarudin Jaffar, Timbalan Menteri Luar Negeri. Sumbangan yang diterima adalah seperti berikut:

(i) Sumbangan daripada G3 Global Berhad berupa dua (2) unit alat penyukat suhu badan (thermal scanner) yang disampaikan oleh YM Raja Muhammad Badiuzzaman Raja Chulan, Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan G3 Global Berhad;

(ii) Sumbangan daripada Tris System Sdn. Bhd. berupa dua (2) unit alat penyukat suhu badan (thermal scanner) yang disampaikan oleh YBhg. Dato’ Leong Khar Wei, Pengarah Tris System Sdn. Bhd.;

(iii) Sumbangan tunai daripada Bank Rakyat berjumlah RM 50,000.00 yang disampaikan oleh YBrs. Encik Nizam Sani, Ketua Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat;

(iv) Sumbangan daripada Megatrax Plastic Industries Sdn. Bhd. berupa 3,000 unit topeng muka (face masks) yang disampaikan oleh YBhg. Dato’ Lim Kah Chuan, Pengarah Urusan Megatrax Plastic Industries Sdn. Bhd.; dan

(v) Sumbangan tajaan barangan daripada Cancer Survivors Malaysia berupa 1,500 unit topeng muka yang boleh diguna pakai semula (washable face mask), yang dianggarkan berjumlah RM15,000.00.

MDES adalah satu inisiatif kebajikan yang diilhamkan oleh YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Luar Negeri Malaysia pada 30 Mac 2020, bagi membantu pegawai-pegawai yang bertugas di semua Pejabat Perwakilan Malaysia di seluruh dunia.

Kementerian Luar Negeri ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta jutaan terima kasih kepada semua penaja yang telah menyumbang kepada MDES dan sentiasa mengalu-alukan sumbangan daripada pelbagai pihak.

 

PUTRAJAYA
23 April 2020