Back

MAKLUM BALAS TERHADAP LAPORAN AKHBAR OLEH THE STAR BERTAJUK “COVID-19: 10 M’SIANS HAVE DIED IN NEW YORK SO FAR”

MAKLUM BALAS TERHADAP LAPORAN AKHBAR OLEH THE STAR BERTAJUK
“COVID-19: 10 M’SIANS HAVE DIED IN NEW YORK SO FAR”

 

Kementerian Luar Negeri mengambil maklum laporan akhbar The Star bertarikh 28 Mei 2020, berhubung dakwaan mengenai kematian 10 orang rakyat Malaysia di New York, Amerika Syarikat yang berpunca daripada COVID-19. Laporan yang sama mendakwa bahawa terdapat seramai 30 orang rakyat Malaysia turut dijangkiti oleh Pandemik tersebut.
 

Kementerian Luar Negeri melalui Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di New York sentiasa memantau perkembangan wabak ini terutamanya bagi kes-kes yang melibatkan rakyat Malaysia. Dalam hal ini, Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia sering berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan yang bertanggung jawab dalam pengurusan Pandemik COVID-19 ini bagi memastikan kesahihan dan ketepatan maklumat yang diterima.
 

Berdasarkan prosedur pihak berkuasa tempatan, sebarang kematian yang melibatkan warganegara asing akan dimaklumkan secara rasmi oleh pihak kerajaan Amerika Syarikat kepada Pejabat Perwakilan Asing di sana, setelah kesahihan sesuatu kes tersebut diperolehi. Walau bagaimanapun sehingga kini, Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di New York masih belum menerima sebarang laporan rasmi daripada mana-mana agensi kerajaan yang terlibat, berhubung rakyat Malaysia yang dijangkiti atau meninggal dunia akibat Pandemik COVID-19 di Amerika Syarikat.
 

Kementerian Luar Negeri menasihatkan supaya rakyat Malaysia di luar negara untuk berhubung dengan Pejabat Perwakilan Malaysia yang terdekat sekiranya terdapat apa-apa kesangsian mengenai maklumat berhubung situasi rakyat Malaysia di luar negara.

 

PUTRAJAYA
28 Mei 2020