Back

MAKLUMAT BERHUBUNG SITUASI PELAJAR MALAYSIA DI UNITED KINGDOM

MAKLUMAT BERHUBUNG SITUASI PELAJAR MALAYSIA DI UNITED KINGDOM
 

Kerajaan United Kingdom (UK) telah mengumumkan pelanjutan visa sehingga 31 Mei 2020 bagi mereka yang telah tamat visa sejak 24 Januari 2020 dan tidak dapat meninggalkan negara tersebut berikutan penularan wabak Covid-19. Keputusan sama ada tarikh tersebut akan dilanjutkan lagi selepas 31 Mei 2020 hanya akan dapat diketahui menjelang tarikh tersebut.
 

Baru-baru ini, British Airways telah membatalkan semua penerbangan mereka ke Kuala Lumpur di sepanjang bulan Jun 2020. Terdapat beberapa orang pelajar yang terkesan dengan perkara ini dan telah mengemukakan aduan bertulis kepada Malawakil London dan kami sedang mengusahakan mereka untuk mendapat tiket penerbangan dengan Qatar Airways yang masih menawarkan penerbangan ke Kuala Lumpur dari London dan transit di Doha. Malaysian Airlines dijangka hanya akan menyambung operasi mereka di London sekitar awal Julai 2020.
 

Menurut Malawakil London, dakwaan bahawa terdapat 1,500 orang pelajar di United Kingdom yang telah menyatakan hasrat untuk pulang ke Malaysia dalam masa dua bulan akan datang adalah tidak benar.
 

Hanya 200 orang pelajar telah menyatakan hasrat untuk pulang pada bulan Mei, manakala 631 orang pelajar ingin pulang pada bulan Jun 2020. Majoriti mereka merupakan pelajar tahun ketiga dan tahun akhir serta pelajar lepasan ijazah.
 

Tarikh peperiksaan akhir adalah di antara pertengahan Mei dan pertengahan Jun 2020 (bergantung kepada institusi pengajian masing-masing). Pelajar-pelajar yang menduduki peperiksaan ini kebanyakannya masih mempunyai visa yang sah.
 

Sehubungan itu, tempoh akhir pelanjutan visa sehingga 31 Mei 2020 yang diumumkan oleh Kerajaan UK sepatutnya tidak melibatkan para pelajar tersebut. Malah pelajar yang belajar di UK lebih daripada 12 bulan akan dibenarkan untuk terus tinggal di UK sehingga 4 bulan selepas tarikh akhir kursus pengajian.

 

PUTRAJAYA
21 Mei 2020