Back

MAKLUMAT SUSULAN KEJADIAN BANJIR DI WILAYAH QUEENSLAND, AUSTRALIA

 

MAKLUMAT SUSULAN KEJADIAN BANJIR DI WILAYAH QUEENSLAND, AUSTRALIA

 

Kementerian Luar Negeri melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra, Australia terus memantau rapi keadaan rakyat Malaysia di Queensland ekoran bencana banjir di wilayah Australia tersebut.

 

Setakat ini, seramai kira-kira 200 orang rakyat Malaysia telah dikenal pasti terkesan dengan kejadian banjir tersebut. Seramai 75 orang telah dipindahkan oleh pihak berkuasa tempatan ke pusat perlindungan sementara, manakala 35 orang lagi sedang menunggu bantuan untuk dipindahkan. Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra berkerjasama erat dengan pihak berkuasa tempatan Queensland, wakil komuniti Malaysia di Brisbane dan Malaysia Students' Council of Australia bagi memastikan kebajikan rakyat Malaysia yang terkesan terpelihara.

 

Berdasarkan laporan pihak berkuasa Queensland, hujan yang bermula sejak 25 Februari 2022 yang lalu dijangka akan berterusan selama tiga hingga lima hari lagi. Antara kawasan yang terkesan adalah Brisbane City, Bulimba, Hamilton, Milton, New Farm, Newstead, Norman Park, Oxley, Rocklea, South Brisbane, St Lucia, Teneriffe, Toowong, West End, Windsor dan Yeronga. Setakat ini, tujuh (7) kematian direkodkan tetapi tidak melibatkan rakyat Malaysia.

 

Kementerian Luar Negeri ingin terus menasihatkan rakyat Malaysia di wilayah-wilayah terkesan oleh bencana banjir di Australia supaya sentiasa memberi keutamaan kepada keselamatan mereka dan mematuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa. Rakyat Malaysia yang terkesan dan ingin membuat laporan, aduan atau permohonan bantuan konsular boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra melalui telefon atau e-mel seperti berikut:

 

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra, Australia

Tel: +61261 200 300/310, +61416 334 901

E-mel: mwcanberra@kln.gov.my 

 

 

PUTRAJAYA

28 Februari 2022