Back

MAKLUMAT TERKINI ISU WARGANEGARA MALAYSIA YANG MENJADI MANGSA SINDIKET PENIPUAN TAWARAN PEKERJAAN DI LUAR NEGARA

 

MAKLUMAT TERKINI ISU WARGANEGARA MALAYSIA YANG MENJADI MANGSA

SINDIKET PENIPUAN TAWARAN PEKERJAAN DI LUAR NEGARA

 

Kementerian Luar Negeri (KLN) melalui Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh telah berjaya menyelamatkan dan membawa pulang seramai 15 orang lagi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja. Kesemua mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada hari Selasa, 20 September 2022 jam 11.50 malam melalui penerbangan AK 535 dari Phnom Penh.

Selain Kemboja, KLN melalui Kedutaan-Kedutaan Besar Malaysia di Laos, Myanmar dan Thailand terus menggiatkan usaha untuk mengesan, menyelamat dan membawa pulang warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di negara-negara terbabit.

Sehingga 21 September 2022, jumlah keseluruhan laporan kes yang diterima oleh KLN membabitkan empat (4) negara tersebut adalah sebanyak 301 kes. Daripada jumlah tersebut, seramai 168 orang mangsa telah berjaya diselamatkan dan pulang ke tanah air. Selain itu, 34 orang mangsa sedang ditahan di depoh tahanan imigresen, manakala baki 99 orang lagi masih dikesan oleh pihak berkuasa negara-negara berkenaan.

KLN amat prihatin dan memandang serius mengenai nasib warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara. Terdahulu, YB Dato’ Sri Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri pada 19 September 2022 telah mengadakan perjumpaan secara maya bersama dengan Duta-Duta Besar/Kuasa Usaha Sementara Malaysia di Myanmar, Kemboja, Laos, dan Thailand untuk memperincikan langkah- langkah lanjut dalam menggiatkan usaha menyelamatkan warganegara Malaysia yang terbabit. Beliau juga telah menggerakkan misi menyelamat melalui Perwakilan-Perwakilan Malaysia yang berkenaan dalam usaha menangani permasalahan ini dengan segera. Selain itu, beliau turut mengarahkan supaya pendekatan-pendekatan yang lebih proaktif dapat diambil bagi menangani isu ini.

Lanjutan daripada itu juga, KLN hari ini melalui YB Dato’ Dr. Haji Abdul Latiff Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) yang memangku tugas YB Menteri Luar Negeri telah membawa isu warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara untuk dimaklumkan dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri. Dalam hubungan ini, YAB Perdana Menteri telah bersetuju supaya satu jawatankuasa membabitkan Kementerian dan Agensi yang berkaitan dapat ditubuhkan bagi menangani isu ini secara lebih bersepadu dan menyeluruh.

KLN melalui Perwakilan-Perwakilan Malaysia di luar negara akan terus komited dan menggiatkan usaha untuk menyelamatkan para mangsa, seterusnya membolehkan mereka pulang ke tanah air dengan selamat.

 

PUTRAJAYA

21 September 2022