Back

MALAYSIA KESAL DENGAN KEGAGALAN MAJLIS KESELAMATAN PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU UNTUK MENGENAKAN GENCATAN SENJATA DI GAZA

MALAYSIA KESAL DENGAN KEGAGALAN MAJLIS KESELAMATAN PERTUBUHAN

BANGSA-BANGSA BERSATU UNTUK MENGENAKAN GENCATAN SENJATA DI GAZA

 

Malaysia amat kecewa dengan kegagalan sekali lagi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menerima pakai satu resolusi yang bertujuan mengenakan gencatan senjata dan memudahcara penyaluran segera perkhidmatan asas dan bantuan kemanusiaan di Gaza. Resolusi ini, yang telah mendapat sokongan majoriti anggota Majlis Keselamatan PBB, telah digagalkan melalui penggunaan kuasa veto pada 20 November 2024.

Penggunaan kuasa veto ini mematahkan harapan masyarakat antarabangsa untuk menamatkan jenayah genosid di Gaza dan menjejaskan usaha-usaha berterusan untuk mencari jalan penyelesaian kepada krisis ini.

Malaysia menggesa agar Majlis Keselamatan PBB mengambil tindakan yang tegas bagi menamatkan bencana kemanusiaan di Gaza, dan melaksana peranan utamanya untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa, mempertahankan prinsip-prinsip asas yang termaktub dalam Piagam PBB dan melindungi kedaulatan undang-undang antarabangsa.

Malaysia kekal bersolidariti dengan Palestin, dan mengulangi komitmennya yang tidak berbelah bahagi untuk mencari jalan penyelesaian yang aman dan berkekalan dalam isu Palestin.

 

PUTRAJAYA

21 November 2024