Back

MALAYSIA MENEKANKAN KEPENTINGAN SOLIDARITI ANTARABANGSA DI SESI KHAS KE-31 PERHIMPUNAN AGUNG PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (UNGASS ke-31) MENGENAI WABAK COVID-19 3 - 4 DISEMBER 2020

 

MALAYSIA MENEKANKAN KEPENTINGAN SOLIDARITI ANTARABANGSA

DI SESI KHAS KE-31 PERHIMPUNAN AGUNG PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA

BERSATU (UNGASS ke-31) MENGENAI WABAK COVID-19

3 - 4 DISEMBER 2020

 

 

Menteri Luar Negeri YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein akan menyampaikan kenyataan Malaysia pada Sesi Khas ke-31 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGASS ke-31) mengenai wabak COVID-19 pada

3 Disember 2020 melalui rakaman video.

 

Dalam kenyataan tersebut, Dato’ Seri Hishammuddin akan menegaskan seruan Malaysia dalam memperkukuhkan solidariti antarabangsa bagi menangani krisis kesihatan,ekonomi dan sosial akibat wabak COVID-19. Beliau akan menekankan kepentingan akses kepada vaksin COVID-19 secara adil dan pada harga yang berpatutan. Beliau juga akan menekankan bahawa ia merupakan tanggungjawab global dan moral untuk vaksin COVID-19 dikongsi bersama setelah dibangunkan.

 

Sesi Khas tersebut dianjurkan lanjutan daripada cadangan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan akan berlangsung pada 3 dan 4 Disember 2020 (waktu New York).Ia akan disertai oleh negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), negara pemerhati, badan-badan bukan kerajaan dan masyarakat madani, institusi

pendidikan serta sektor swasta bagi mencerminkan solidariti masyarakat antarabangsa dan memperkukuhkan multilateralisme dalam berdepan dengan cabaran-cabaran yang disebabkan oleh wabak COVID-19. UNGASS ke-31 juga bertujuan untuk menyelaras respons masyarakat antarabangsa dalam menangani kesan-kesan wabak ini.

 

Segmen pembukaan Sesi Khas ke-31 akan merangkumi kenyataan oleh Presiden bagi Sesi ke-75 Perhimpunan Agung PBB Encik Volkan Bozkir, Setiausaha Agung PBB Encik António Guterres, dan Presiden Republik Azerbaijan, TYT Ilham Aliyez, sebagai Pengerusi NAM. Di samping itu, Presiden Majlis Ekonomi dan Sosial PBB (ECOSOC) dan Presiden Majlis Keselamatan PBB bagi bulan Disember 2020 (Afrika Selatan) juga akan menyampaikan kenyataan mereka semasa segmen tersebut. Pada 4 November 2020, sesi dialog interaktif akan diadakan yang turut melibatkan Ketua Pengarah

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan badan-badan PBB lain yang berkaitan.

 

 

 

PUTRAJAYA

 

02 DISEMBER 2020