Back

MALAYSIA MENERIMA LAWATAN KHAS TYT SHINZO ABE, MANTAN PERDANA MENTERI JEPUN 10-12 MAC 2022

 

MALAYSIA MENERIMA LAWATAN KHAS TYT SHINZO ABE,

MANTAN PERDANA MENTERI JEPUN 10-12 MAC 2022

 

Malaysia menerima Lawatan Khas TYT mantan Perdana Menteri Shinzo Abe, merangkap Utusan Khas TYT Fumio Kishida, Perdana Menteri Jepun. Lawatan tiga hari TYT Shinzo Abe yang bermula pada 10 hingga 12 Mac 2022 adalah bersempena dengan Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur (DPT) Malaysia dan 65 tahun penubuhan hubungan diplomatik Malaysia-Jepun.

 

Dalam Lawatan Khas ini, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah telah mengampuni limpah perkenan menerima menghadap oleh TYT Shinzo Abe pada 11 Mac 2022 di Istana Negara.

 

TYT Shinzo Abe dijadualkan menerima penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat Politik Ekonomi sempena Majlis Konvokesyen ke-36 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada 12 Mac 2022 yang turut akan diserikan dengan keberangkatan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

 

YAB Perdana Menteri Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob akan menerima kunjungan hormat TYT Shinzo Abe dan meraikan beliau dalam satu majlis makan malam pada 11 Mac 2022. Selain daripada membincangkan inisiatif-inisiatif kerjasama baharu Malaysia-Jepun pasca pandemik COVID-19, TYT Shinzo Abe juga akan menyampaikan perutusan khas daripada TYT Perdana Menteri Fumio Kishida kepada YAB Perdana Menteri.

 

Lawatan Khas TYT Shinzo Abe mencerminkan keakraban dan kerjasama erat dalam pelbagai bidang antara Malaysia dan Jepun. Pelaksanaan DPT selama empat dekad telah menghasilkan faedah besar, terutamanya dalam aspek-aspek pembangunan modal insan serta perdagangan dan pelaburan di antara kedua-dua negara. Pada tahun 2021, Jepun merupakan rakan dagang ke-4 terbesar bagi Malaysia dengan nilai dagangan dua hala RM149 bilion (USD36 bilion). Sehingga Disember 2021, Jepun merupakan pelabur terbesar berdasarkan jumlah projek dilaksanakan dalam sektor pembuatan dengan nilai keseluruhan RM90.9 bilion (USD27.6 bilion).

 

PUTRAJAYA

11 Mac 2022