Back

MALAYSIA MENGALU-ALUKAN LAPORAN AKHIR OLEH KUMPULAN PENILAI BEBAS BERKENAAN UNRWA

MALAYSIA MENGALU-ALUKAN LAPORAN AKHIR OLEH KUMPULAN PENILAI BEBAS BERKENAAN UNRWA

 

Malaysia mengalu-alukan hasil siasatan Laporan Akhir oleh “Independent Review of Mechanisms and Procedures to Ensure Adherence by the United Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees in the Near East (UNRWA) to the Humanitarian Principle of Neutrality” kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Laporan tersebut menolak dengan tegasnya tuduhan Israel yang mengaitkan penglibatan kakitangan PBB dengan organisasi-organisasi pengganas.
Israel secara berterusan menyebarkan propaganda penipuan, tipu daya dan gambaran yang salah mengenai fungsi dan aktiviti-aktiviti UNRWA. Tuduhan yang tidak berasas oleh Israel bukan sahaja memburukkan reputasi Agensi berkenaan, malah telah menyebabkan beberapa negara penyumbang menggantung sumbangan kewangan mereka kepada UNRWA.

Malaysia menggesa negara-negara yang telah menggantung sumbangan mereka untuk meneruskan semula bantuan kewangan mereka kepada UNRWA, supaya Agensi berkenaan dapat menjalankan tanggungjawabnya dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan, termasuk perlindungan kesihatan, pendidikan dan kebajikan rakyat Palestin di Gaza.

Kumpulan Penilai Bebas ini telah ditubuhkan oleh Setiausaha Agung PBB pada 5 Februari 2024 untuk menyiasat dakwaan Israel ke atas kakitangan UNRWA yang kononnya terlibat dengan serangan pada 7 Oktober 2023.

 


PUTRAJAYA
24 April 2024