Back

MALAYSIA MENGECAM SEKERAS-KERASNYA PENCEROBOHAN DAN SERANGAN TENTERA PENJAJAH ISRAEL SERTA PENDATANG HARAM YAHUDI KE ATAS MASJID AL-AQSA, BAITUL MAQDIS

MALAYSIA MENGECAM SEKERAS-KERASNYA PENCEROBOHAN DAN SERANGAN

TENTERA PENJAJAH ISRAEL SERTAPENDATANG HARAM YAHUDI KE ATAS

MASJID AL-AQSA, BAITUL MAQDIS

 

 

Malaysia mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan dan serangan tentera penjajah Israel serta pendatang haram yahudi ke atas rakyat

Palestin dan para jemaah yang beribadah di Masjid Al-Aqsa pada 7 Mei 2021.

 

Perbuatan zalim tersebut bukan sahaja perlu dikecam sekeras-kerasnya malah Kerajaan Israel mesti dipertanggungjawabkan ke atas

pelanggaran hak asasi manusia serta undang-undang antarabangsa. Ramai rakyat Palestin yang tercedera dalam serangan tersebut.

Pencerobohan di Masjid Al-Aqsa yang disasarkan terhadap para jemaah yang sedang menunaikan solat di hari -hari terakhir Ramadan

merupakan satu bentuk penghinaan terhadap umat Islam dan nilai kemanusiaan.

 

Malaysia turut mengecam sekeras-kerasnya pengusiran secara paksa rakyat Palestin daripada kediaman mereka termasuk yang berada di

kejiranan Sheikh Jarrah di Baitul Maqdis.

 

Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa untuk bertindak segera dan tegas menentang kezaliman terbaru Israel ini.

 

Malaysia sentiasa memberikan sokongan padu kepada rakyat Palestin dan perjuangan mereka dalam mencapai kebebasan mutlak daripada penjajahan haram Israel, ke arah pembentukan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan garis sempadan pra-1967, dengan Baitul Maqdis (East Jerusalem) sebagai ibukota Palestin.

 

 

 

 

YB DATO' SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN

MENTERI LUAR NEGERI

8 MEI 2021