Back

MALAYSIA MENGECAM SEKERAS-KERASNYA PENCEROBOHAN OLEH PELAMPAU DAN PEGAWAI ISRAEL KE ATAS MASJID AL-AQSA

 

MALAYSIA MENGECAM SEKERAS-KERASNYA PENCEROBOHAN OLEH

PELAMPAU DAN PEGAWAI ISRAEL KE ATAS MASJID AL-AQSA

 

Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan dan pencerobohan oleh pelampau dan pegawai Israel di Masjid Al-Aqsa dan kawasan sekitarnya pada hari Ahad, 29 Mei 2022. Pencerobohan yang dirancang di tapak suci umat Islam dan perhimpunan perarakan bendera di Kota Lama adalah provokasi dan pelanggaran yang jelas terhadap kesucian Masjid Al-Aqsa serta kawasan sekitarnya.

 

Serbuan terbaharu di Masjid Al-Aqsa ini sememangnya merupakan tindakan pencerobohan oleh rejim penjajah Israel dan pelampau Israel yang akan menyemarakkan lagi api permusuhan di dalam serta di luar rantau tersebut.

 

Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa untuk segera menuntut rejim Israel menghentikan sebarang tindakan provokasi bagi menjamin keamanan dan kestabilan. Malaysia berdiri teguh solidariti bersama rakyat Palestin, dan menegaskan status Al-Quds Al-Sharif sebagai tapak Suci Umat Islam.

 

Malaysia juga sentiasa menzahirkan sokongan yang tidak berbelah bahagi dan solidariti bersama rakyat Palestin serta perjuangan mereka untuk mencapai kebebasan mutlak daripada pendudukan haram Israel, sekaligus merealisasikan aspirasi untuk sebuah Negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis sebagai ibu kota.

 

PUTRAJAYA

30 Mei 2022