EN MS
MFA Directory English Bahasa Melayu
MALAYSIA MENGIKTIRAF AKSES TERHADAP PERSEKITARAN YANG BERSIH, SIHAT, DAN LESTARI SEBAGAI HAK ASASI MANUSIA
Akses ke persekitaran yang selamat, bersih, sihat, dan lestari merupakan hak asasi manusia yang perlu dilindungi dan dipromosikan.
Malaysia mengiktiraf pendirian ini melalui penajaan resolusi di Majlis Hak Asasi Manusia (MHAM) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
(PBB) pada 8 Oktober 2021 di Geneva. Resolusi ini merupakan julung-julung kalinya bagi MHAM dalam mewujudkan kaitan secara jelas
dan langsung antara persekitaran yang bersih, sihat, dan lestari dengan hak asasi manusia. Malaysia turut menaja satu lagi resolusi
MHAM yang mewujudkan jawatan Pelapor Khusus (Special Rapporteur) dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia secara
global dalam konteks perubahan iklim.
Malaysia menyambut baik Resolusi ini yang mengetengahkan implikasi ke atas hak asasi manusia disebabkan oleh kemerosotan alam sekitar
dan perubahan iklim yang dihadapi oleh individu dan masyarakat di seluruh dunia, terutamanya bagi golongan rentan seperti orang asal, orang
tua, orang kurang upaya, dan wanita. Dengan menyokong Resolusi tersebut, Malaysia menyedari bahawa kemerosotan alam sekitar, perubahan
iklim dan pembangunan yang tidak mampan merupakan antara ancaman-ancaman yang paling mendesak dan serius terhadap kemampuan
generasi sekarang dan masa hadapan untuk menikmati hak asasi manusia, termasuk hak untuk hidup, serta hak ke atas kesihatan,
pembangunan, perumahan, air dan makanan.
Keutamaan yang diberikan oleh Malaysia dalam menangani isu perubahan iklim merupakan sebahagian dari janji negara bagi
pencalonannya ke Majlis Hak Asasi Manusia PBB untuk penggal 2022-2024, pada pilihanraya yang akan diadakan di New York pada 14
Oktober 2021. Ia juga sejajar dengan Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025), seperti yang telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri
baru-baru ini ke arah pertumbuhan yang makmur, inklusif, dan mampan bagi semua.
Rancangan Malaysia ke-12 berhasrat untuk memacu pembangunan hijau melalui penerapan agenda pembangunan bersih, hijau dan
berdaya tahan berdasarkan pendekatan senegara (whole-of-nation approach). Memandangkan Malaysia telah mengetengahkan komitmen
untuk memelihara kelestarian planet dan beraspirasi menjadi negara neutral karbon menjelang 2050, keutamaan akan diberikan ke atas
pembangunan sosio-ekonomi yang rendah karbon dan berdaya tahan, serta pemuliharaan sumber asli dan ekosistem. Rancangan
Malaysia ke-12 adalah selari dengan komitmen negara ke atas Agenda Pembangunan Mampan 2030, dalam melaksanakan 17 Matlamat
Pembangunan Mampan.
Seperti yang digesa di dalam Resolusi tersebut, Malaysia berhasrat untuk memainkan peranannya dalam melaksanakan hak asasi yang baru diperakui tersebut. Ini termasuklah melalui pembangunan kapasiti dalam usaha melindungi alam sekitar dan memperkenalkan dasar yang bersesuaian bagi mempertahankan biodiversiti dan ekosistem, selaras dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030. Bagi mencapai tujuan ini, Malaysia bertekad akan bekerjasama dengan negara-negara lain, organisasi antarabangsa dan serantau, masyarakat sivil, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), para akademik, dan sektor korporat ke arah mencapai masa depan yang lebih terjamin bagi generasi akan datang.
DATO’ SAIFUDDIN ABDULLAH
12 OKTOBER 2021