Back

MALAYSIA MENYAMBUT BAIK KEPUTUSAN PBB UNTUK MELAKSANAKAN KEPUTUSAN ICJ BAGI MENAMATKAN PENDUDUKAN HARAM ISRAEL KE ATAS PALESTIN

 

MALAYSIA MENYAMBUT BAIK KEPUTUSAN PBB UNTUK MELAKSANAKAN KEPUTUSAN
ICJ BAGI MENAMATKAN PENDUDUKAN HARAM ISRAEL KE ATAS PALESTIN

 

Malaysia dan 123 Negara Anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengundi untuk menyokong Resolusi Perhimpunan Agung PBB (UNGA) bertajuk “Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan dengan kesan perundangan yang timbul daripada dasar dan amalan Israel di Wilayah Pendudukan Palestin (OPT), termasuk Baitulmaqdis Timur, serta ketidaksahan kehadiran berterusan Israel di OPT”.

Resolusi yang diterima pakai di Sesi Tergempar Khas Ke-10, UNGA pada 17 September 2024, bertujuan untuk melaksanakan keputusan ICJ bertarikh 19 Julai 2024. Ia antara lainnya menekankan tanggungjawab bersama dan obligasi undang-undang semua negara dan Pertubuhan Antarabangsa untuk menamatkan pendudukan haram Israel di Palestin, dan menyeru keadilan untuk rakyat Palestin.

Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa untuk melaksanakan Resolusi tersebut dengan kadar segera dan secara penuh, demi hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri, memelihara kedaulatan dan keutuhan wilayah, dan mencapai pembangunan sosio-ekonomi mereka.

Resolusi ini mengesahkan pendirian Malaysia terhadap isu Palestin yang telah lama berlarutan. Malaysia berpegang teguh kepada prinsip bahawa rakyat Palestin berhak mendapat sebuah Negara yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan persempadanan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.


PUTRAJAYA
19 September 2024