Back

MESYUARAT KHAS MENTERI-MENTERI LUAR NEGERI ASEAN-INDIA, 15-17 JUN 2022, NEW DELHI, INDIA

 

MESYUARAT KHAS MENTERI-MENTERI LUAR NEGERI ASEAN-INDIA,

15-17 JUN 2022, NEW DELHI, INDIA

 

YB Dato' Sri Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri, akan melakukan Lawatan Kerja ke New Delhi, India pada 15-17 Jun untuk menghadiri Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN-India (SAIFMM) yang diadakan sempena ulang tahun ke-30 hubungan ASEAN-India.

Mesyuarat ini akan memberi peluang kepada ASEAN dan India untuk meneliti perkembangan dan kemajuan kerjasama-kerjasama sedia ada serta membincangkan hala tuju perkongsian strategik ASEAN-India. YB Dato' Sri Saifuddin Abdullah bersama Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN yang lain juga akan menghadiri Dialog Delhi Ke-12 yang bertemakan “Breaking Barriers, Building Bridges in Indo-Pacific”. YB Dato' Sri akan menyampaikan ucapan semasa Panel Menteri Mengenai Tiga Puluh Tahun Hubungan ASEAN-India di Dialog Delhi Ke-12.

India merupakan rakan jangka panjang ASEAN sejak tahun 1992 yang mempunyai hubungan sejarah, budaya dan tamadun yang kukuh sejak berkurun lama. Hubungan ini berasaskan kerjasama yang dinamik yang meliputi ketiga-tiga tonggak di bawah ASEAN. Lawatan Kerja YB Menteri Luar Negeri ke India ini akan menunjukkan komitmen Malaysia untuk terus mengukuhkan lagi perkongsian strategik ASEAN-India dalam kerjasama strategik termasuklah mempromosikan pemulihan pasca pandemik yang berdaya tahan.

Selain menghadiri SAIFMM, YB Menteri Luar Negeri juga akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya dari India. Ini merupakan lawatan sulung YB Menteri Luar Negeri ke India sejak pelantikannya pada 30 Ogos 2021. Tahun ini merupakan ulang tahun ke-65 termeterainya hubungan diplomatik antara Malaysia dan India. Kedua-dua negara telah menikmati jalinan hubungan persahabatan yang akrab melalui perkongsian sejarah, budaya dan hubungan sosial.

Mesyuarat dua hala antara kedua-dua menteri luar negeri adalah satu manifestasi hubungan dua hala yang kukuh antara kedua-dua negara. Malaysia dan India akan terus memupuk hubungan akrab yang telah lama terjalin di samping bekerjasama ke arah keamanan, kemajuan dan kemakmuran sejagat.

 

PUTRAJAYA

15 Jun 2022