Back

MESYUARAT MENTERI-MENTERI LUAR NEGERI ASEAN KE-55 (AMM KE-55) DAN MESYUARAT-MESYUARAT BERKAITAN, 31 JULAI - 6 OGOS 2022

 

MESYUARAT MENTERI-MENTERI LUAR NEGERI ASEAN KE-55 (AMM KE-55) DAN

MESYUARAT-MESYUARAT BERKAITAN, 31 JULAI - 6 OGOS 2022

 

YB Dato’ Sri Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri Malaysia bakal mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN Ke-55 (AMM Ke-55) dan Mesyuarat-Mesyuarat berkaitan mulai 31 Julai hingga 6 Ogos 2022. Kesemua mesyuarat tersebut akan dihoskan oleh Kerajaan Kemboja selaku Pengerusi ASEAN 2022.

Sepanjang tujuh hari tersebut, Malaysia dijadual menyertai mesyuarat-mesyuarat seperti; Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN Ke-55, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN dengan negara-negara rakan dialog secara berasingan [China, Republik Korea, Jepun, United Kingdom, India, Kanada, Australia, New Zealand, Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat dan Rusia], Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN+3 Ke-23 (APT FMM Ke-23), Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri Sempena Sidang Kemuncak Asia Timur Ke-12 (EAS FMM Ke-12), Forum Serantau ASEAN Ke-29 (ARF Ke-29), Mesyuarat Suruhanjaya Kawasan Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) dan Mesyuarat Sua Muka (interface) bersama wakil-wakil Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR).

Malaysia merupakan Negara Penyelaras untuk hubungan dialog ASEAN-Kanada bagi tempoh 2021-2024. Malaysia dan Kanada akan mempengerusikan secara bersama Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN–Kanada.

Semasa AMM Ke-55, Menteri Luar Negeri ASEAN akan membincangkan kemajuan Pembangunan Komuniti ASEAN, Keutamaan dan Hasil Utama ASEAN termasuk strategi bersama pemulihan sosio-ekonomi COVID-19, pelaksanaan Pelan Pembangunan Keselamatan Politik ASEAN 2025, isu-isu serantau serta persiapan untuk Sidang Kemuncak ASEAN Ke-40 dan Ke-41 dan Mesyuarat-Mesyuarat yang Berkaitan, yang dijadualkan pada November 2022.

Antara isu-isu yang akan dibangkitkan oleh Malaysia semasa mesyuarat-mesyuarat tersebut termasuk usaha pemulihan ekonomi pasca COVID-19, pengukuhan multilateralisme, kemampanan dan perubahan iklim, kerjasama kesihatan awam, ekonomi dan transformasi digital, isu Laut China Selatan, situasi di Ukraine dan konflik di Myanmar.

Di akhir AMM Ke-55 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan, Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN dijangka memperakukan beberapa dokumen, termasuk Kenyataan Bersama AMM Ke-55 yang akan memperincikan hasil perbincangan serta keputusan strategik yang dicapai semasa mesyuarat-mesyuarat tersebut.

 

PUTRAJAYA

2 Ogos 2022