Back

MESYUARAT PEGAWAI KANAN ASEAN KUALA LUMPUR 29 APRIL 2025

MESYUARAT PEGAWAI KANAN ASEAN

KUALA LUMPUR

29 APRIL 2025 

 

Kementerian Luar Negeri telah menganjurkan Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN (Senior Officials’ Meeting – SOM) pada hari Selasa, 29 April 2025 di Hotel InterContinental Kuala Lumpur. Sebagai sebahagian daripada siri Mesyuarat SOM ASEAN ini, tiga (3) mesyuarat peringkat SOM telah diadakan, iaitu Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN, Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ Excom), dan Mesyuarat Kumpulan Kerja Majlis Penyelarasan ASEAN ke-18 mengenai Permohonan Keanggotaan ASEAN oleh Timor-Leste (ACCWG-TL). Mesyuarat-mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Sri Amran Mohamed Zin, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri selaku Pegawai Kanan ASEAN-Malaysia.

Mesyuarat SOM dan SEANWFZ ExCom melibatkan penyertaan Pegawai-Pegawai Kanan dari Negara Anggota ASEAN, manakala Mesyuarat ACCWG-TL pula telah disertai oleh wakil SOM Tonggak Komuniti Ekonomi dan Sosio-Budaya ASEAN, serta Timbalan-Timbalan Setiausaha Agung ASEAN ketiga-tiga Tonggak. Selain itu, Pegawai Kanan Timor-Leste juga telah menyertai mesyuarat-mesyuarat tersebut sebagai Pemerhati.

Mesyuarat SOM telah membincangkan usaha memperkukuh pembangunan Komuniti ASEAN, termasuk Visi Komuniti ASEAN 2045 yang akan diperakukan di Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 pada 26 Mei 2025. Dalam hal ini, Pegawai Kanan ASEAN telah memberikan penghargaan kepada Pasukan Petugas Peringkat Tinggi dalam memuktamadkan Visi Komuniti ASEAN 2045 dan pelan-pelan strategik politik-keselamatan, ekonomi, sosio-budaya dan kesalinghubungan. Mesyuarat ini turut membincangkan progres implementasi Pelan Hala tuju Kemasukan Timor-Leste ke ASEAN, permohonan negara-negara luar ke dalam Triti Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (Treaty of Amity and Cooperation in Southeast Asia - TAC) dan hubungan luar ASEAN.

Mesyuarat SEANWFZ Excom telah memberi fokus kepada usaha berterusan ASEAN dalam memajukan agenda perlucutan senjata di peringkat global, termasuk matlamat jangka panjang untuk memastikan penyertaan Negara-Negara Pemilik Senjata Nuklear kepada Protokol SEANWFZ, sekali gus memperkukuhkan kedudukan undang-undang Perjanjian ini serta kepimpinan ASEAN dalam mempromosikan rantau yang bebas senjata nuklear.

Mesyuarat ACCWG-TL telah memfokuskan kepada usaha berterusan ASEAN untuk mempercepatkan keanggotaan penuh Timor-Leste ke dalam ASEAN. Perbincangan telah menilai kemajuan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Keanggotaan Timor-Leste, memperkukuh inisiatif pembangunan kapasiti untuk pegawai-pegawai Timor-Leste, serta menyokong penubuhan Unit Timor-Leste di Sekretariat ASEAN. Malaysia kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan Negara-Negara Anggota ASEAN dan Timor-Leste bagi melancarkan lagi proses tersebut.

Sebagai sebuah blok yang perlu kekal relevan dan kukuh terutamanya dalam menghadapi pelbagai cabaran mendatang, perbincangan pada mesyuarat-mesyuarat SOM ASEAN kali ini akan memastikan usaha yang lebih bersepadu, inklusif dan mampan yang berobjektifkan memperkukuh keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau.

 

PUTRAJAYA

29 April 2025